Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my


SUARA bisikan pada waktu awal pagi, di rumah di Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling, membongkar kegiatan tidak bermoral dua pelajar yang terlanjur.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, remaja lelaki berusia 15 tahun dikatakan menceroboh rumah kekasihnya berusia 14 tahun ketika ahli keluarga perempuan itu sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusuf berkata, kejadian bagaimanapun disedari kakak mangsa yang terdengar suara lelaki dari arah bilik adiknya, sebelum dia memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga lain.

Katanya, ibu mangsa yang kemudian melakukan pemeriksaan, terkejut melihat anak gadisnya berdua-duaan di dalam bilik bersama suspek yang turut dikenali keluarga berkenaan.

“Suspek yang disergah kemudian melarikan diri melalui pintu belakang rumah mangsa sebelum laporan mengenai kejadian dibuat keluarga remaja perempuan di Balai Polis Kupang pagi semalam.

“Berikutan itu, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Tawar pada 12.20 tengah hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol bawah umur,” katanya ketika dihubungi di Baling, hari ini.

Difahamkan, suspek yang menceroboh rumah mangsa antara 2.30 hingga 4 pagi sudah merogol remaja itu sebanyak dua kali sebelum perbuatan mereka disedari.

Shariffuddin berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa sudah mengenali suspek sejak dua tahun lalu.

“Mangsa kemudian dihantar keluarganya ke Hospital Baling (HB) sebelum dia dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan lanjut.

“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah juga sudah melakukan pemeriksaan ke atas tilam, cadar dan kain yang disyaki ada kesan hubungan mangsa dan suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 1:19 PM