Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya akhir bulan lalu disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jenazah Allahyarham akan diuruskan di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Kuala Lumpur pagi esok, untuk penghormatan terakhir.

“Selepas itu, jenazah Allahyarham akan dibawa menaiki helikopter untuk dihantar pulang ke kampung halaman di Kedah.

“Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zuhur,” katanya pada sidang media di IJN, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, keluarga anggota bomba itu berada di sisi Adib ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Keluarga Adib dimaklumkan mengenai keadaan Adib sejak pagi tadi.

“Keluarga arwah termasuk ibu bapa dan adiknya berada di sisi Adib dari pagi tadi hingga malam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 10:00 PM