DADAH ketamin yang ditemui disembunyikan dalam guni berisi bertih jagung.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Safeek Affendy Razali


KUALA LUMPUR: Guna taktik sembunyikan peket dadah ketamin gred A di dalam guni berisi bertih jagung. Itu taktik terbaru sindiket penyeludupan dadah yang dikesan menggunakan pelabuhan tempatan sebagai pintu masuk membawa dadah ke negara ini.

Bagaimanapun taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah bernilai hampir RM3 juta menggunakan dua kontena mengandungi guni bertih jagung gagal apabila dipatahkan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sumber berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Narkotik, JKDM melakukan pemantauan terhadap dua kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.


KONTENA yang ditahan penguat kuasa kastam selepas dikesan mengandungi dadah.

Menurutnya, dua kontena itu didapati baru tiba di pelabuhan itu dari Pakistan.

Sumber berkata hasil pemantauan dijalankan, dua kontena itu dikesan membawa masuk barang dagangan yang diisytihar sebagai 700 guni jagung dengan setiap satu kontena membawa 350 guni.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua 700 guni berkenaan mendapati 10 daripadanya mengandungi peket kecil berisi serbuk dadah ketamin dianggarkan seberat 145 kilogram (kg).

“Semua bekalan jagung mengandungi dadah itu dipercayai akan dituntut pembelinya di negara ini melalui syarikat ejen pengimport. Bagaimanapun, individu itu tidak muncul hingga hari ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dadah yang dianggarkan bernilai RM2.9 juta itu dirampas untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pembeli terbabit yang juga dipercayai sindiket pengedaran dadah tempatan tidak menuntut jagung berkenaan berkemungkinan kerana suspek sudah mengetahui perangkap dipasang JKDM.

“Dadah berkenaan dipercayai akan diedarkan untuk pasaran dalam negara ini,” katanya.

Pada masa ini, JKDM dipercayai menjalankan kerjasama dengan pihak berkuasa di Pakistan dalam usaha mengesan rangkaian pembekal dan pembeli dadah berkenaan.

Mei lalu, JKDM turut merampas 1.187 tan dadah methamphethamine bernilai lebih RM71 juta di sebuah pasar raya mini di Seri Kembangan, Selangor.

Dalam operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, lima lelaki berusia 22 hingga 48 tahun ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 8:40 AM