GAMBAR yang dikongsikan Mohd Zulhairi di Facebook berhubung usaha membantu membawa pulang jenazah kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa dera untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Choh, Rawang. FOTO Facebook Mohd Zulhairi Zainol
Mohd Sabran Md Sani


“HERY ditemukan dengan satu kariah Kampung Ulu Tiram yang sanggup membawa jenazah ini ke Rawang (Selangor) tanpa sebarang caj,” kata pemilik akaun Facebook (FB) Mohd Zulhairi Zainol.

Kuasa tular membantu sukarelawan berkenaan mendapatkan khidmat van jenazah bagi membawa pulang jenazah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya dekat Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, malam tadi.

Mohd Zulhairi menerusi FB berkongsi coretan pengalaman dirinya membantu ibu kepada kanak-kanak itu dalam usaha menguruskan jenazah hingga proses pengebumian 9.30 pagi tadi.

Usaha Mohd Zulhairi membantu keluarga kanak-kanak itu dipermudahkan apabila muat naik bagi mendapatkan khidmat van jenazah dari Johor Bahru ke Rawang pada 8 malam tadi mendapat respon positif.

"Alhamdulillah, selesai urusan van jenazah dan kami selamat sampai di Rawang.

"Terima kasih kariah Ulu Tiram, ramai yang membantu siap ada kenderaan lain yang ikut dari Johor ke Bangi," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di FB miliknya.

Menurutnya, dia yang dikenali sukarelawan AmalTeam di Bangi dihubungi keluarga kanak-kanak itu untuk membawa jenazah dari Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor ke Rawang.

"Memandangkan kedudukan saya jauh di Bangi, saya berdepan kesukaran untuk membawa kanak-kanak itu.

"Alhamdulillah, status dikongsi untuk mendapatkan bantuan warga Johor membantu membawa pulang jenazah disambut baik penduduk Kampung Ulu Tiram," katanya.

Dia yang mendapat dana dari sumbangan derma orang ramai menyalurkan kembali wang itu kepada kariah itu meskipun tanpa diminta.

Katanya, sebaik bertolak dari HSI, van jenazah membawa kanak-kanak itu dipindahkan menggunakan van jenazah disediakannya di Tol Bangi, pada 4.46 pagi.

"Selepas selesai solat Subuh dan solat jenazah, kanak-kanak itu kemudian dikebumikan diTanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Rawang pada 9 pagi," katanya.

Mengulas lanjut katanya, dia hanya mengetahui jenazah kanak-kanak itu menjadi mangsa dera ketika proses pertukaran van dilakukan di Plaza Tol Bangi.

"Ibu kanak-kanak itu yang datang bersama tiga ahli keluarganya yang lain mengharapkan bantuan kami kerana tidak mempunyai kenderaan dan sumber kewangan.

"Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dengan bantuan semua pihak yang selalu mengikuti FB saya kerana terbabit dalam aktiviti sukarelawan," katanya.

Terdahulu, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, semalam.

Mangsa sebelum itu dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Berita berkaitan

Budak maut didera ibu tiri

Kes dera: Maut akibat hentakan benda tumpul

Adik mangsa pun disyaki didera

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:01 PM