NURUL Nathirah mengajar adiknya, Nur Iman Batrishah bahasa Mandarin ketika pendaftaran murid tahun satu SJKC Sin Min, Lubok Cina.

ALOR GAJAH: Murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok Cina, di sini, mempunyai seramai 55 orang dan daripada jumlah itu, hanya sembilan berbangsa Tionghua manakala baki selebihnya Melayu.

Bagi sesi persekolahan 2019 yang bakal bermula Rabu depan, sekolah itu mempunyai 44 murid berbangsa Melayu manakala dua lagi India.

Seramai 13 murid tahun satu mendaftar, semalam dengan 12 daripadanya Melayu dan baki seorang lagi murid perempuan berbangsa Tionghua, Lee Mei Tze.

Guru Besar SJKC Sin Min, Goh Seng Hua berkata, murid Tionghua semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu berikutan penghijrahan kebanyakan masyarakat itu dari sekitar pekan Lubok Cina ke pekan Masjid Tanah dan pusat bandar.

“Seramai 11 guru termasuk saya mengajar dalam kelas yang majoriti murid adalah Melayu dan yang paling menarik tiada langsung murid Cina dalam tahun lima tahun depan,” katanya ketika ditemui.

Ibu murid, Ruszailina Rusly, 34, berkata, dia memilih sekolah itu untuk anak sulungnya, Aiman Hakim Abdul Hadi bagi menimba ilmu dengan menggunakan bahasa pengantar Mandarin sebagai usaha membolehkan anaknya menguasai lebih daripada satu bahasa.

“Suami saya, Abdul Hadi Md Sufian mahukan anak menguasai bahasa Mandarin sejajar dengan situasi semasa dan akan datang yang kami yakin akan memberikan kelebihan kepada mereka yang menguasai bahasa itu,” katanya.


GURU, Ong Sook Hui membimbing murid tunggal Cina tahun satu, Lee Mei Tze menulis namanya.

Fauziah Md Isa, 47, pula memilih SJKC Sin Min untuk anak bongsunya, Mohd Hilman Iskandar Abu Kassim menimba ilmu sebagai mengikuti langkah enam abang dan kakaknya yang turut belajar di sekolah sama sebelum ini.

“Tiada seorang pun anak saya belajar di sekolah kebangsaan kerana saya dan suami mahu mereka menguasai bahasa Mandarin, membaca tulisan Cina dan mengira juga dengan kaedah berfikir bahasa Cina,” katanya.

Menurutnya, anak keenam itu sering bertutur dalam bahasa Mandarin ketika berada di rumah kerana mereka mampu menguasai bahasa berkenaan dengan baik.

Siti Mursyidah Abdu Rahman, 36, pula mahu anaknya, Qaireen Aqeel Norizwan mahir bertutur bahasa Mandarin dan membaca tulisan Cina dengan cekap sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi pada masa depan.

“Bahasa Mandarin semakin penting dalam bidang ekonomi sekarang dan akan datang, jadi kami memilih sekolah ini untuk anak kami menimba ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:43 AM