MANGSA warga Nepal dipercayai maut terjatuh dari rumah flat Blok C Tingkat Mayang Pasir, Bayan Baru, Pulau Pinang. FOTO PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


TAKUT selepas menyedari kehadiran tunang teman wanitanya, lelaki Nepal maut apabila dia terjatuh ketika cuba melarikan diri melalui pintu gelongsor dapur di tingkat empat rumah flat di Bayan Baru, dekat Balik Pulau, hari ini.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurujual di pasar raya di Bukit Jambul datang ke rumah teman wanitanya pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pada 5 pagi, tunang kepada teman wanita mangsa datang ke rumah terbabit membuatkan lelaki Nepal berkenaan terkejut.

Menurutnya, ketika itu lelaki Nepal terbabit berada dalam rumah bersama teman wanitanya dan menyedari kehadiran tunang wanita berkenaan, dia kemudian cuba melarikan diri melalui pintu dapur.

“Mangsa membuka pintu gelongsor di dapur terbabit dan cuba keluar melaluinya, namun dia terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah, kita tidak menemui sebarang unsur-unsur pergelutan dan pemeriksaan badan juga tidak menemui unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil keterangan awal, teman wanita mangsa mendakwa mereka sudah lapan bulan berkawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 1:43 PM