Anggota polis menahan suspek kes rogol untuk siasatan lanjut di Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEMERIKSAAN doktor terhadap alat sulit remaja membongkar rahsia dia dirogol sepupunya sejak tahun lalu.

Semuanya bermula selepas remaja berusia 15 tahun itu mengadu sakit pada alat sulitnya sebelum dia dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan mencurigakan pada alat sulit mangsa.

Menurutnya, selepas didesak, mangsa mengakui dia melakukan hubungan seks dengan sepupunya beberapa kali sejak tahun lalu.

“Berdasarkan keterangan yang diberikan, doktor kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun semalam untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek ditahan di kedai gunting rambut bandar ini kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan bagi mendapatkan butiran lanjut.

“Mangsa masih dirawat di hospital manakala suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 12:07 PM