Nur Syahida dan Zawawi melihat kelengkapan sekolah anak mereka. FOTO Syamsi Suhaimi
Nur Syahida dan Zawawi melihat kelengkapan sekolah anak mereka. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu

BETAPA luluhnya hati seorang ibu di Kota Bharu, apabila melihat pakaian dan kelengkapan sekolah yang dibeli tiga minggu lalu buat tiga anak perempuannya, hanya terbiar sepi dan tidak dipakai berikutan pemergian mereka.

Ketiga-tiga permata hati Nur Syahida Abdullah, 35, itu meninggal dunia akibat lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu, Ahad lalu.

Nur Syahida berkata, sukar menghadapi perpisahan berkenaan dan sangat sedih apabila melihat kelengkapan persekolahan tidak sempat dipakai anaknya, mereka.

“Kami masih teringat kerenah anak yang tidak sabar hendak memulakan sesi persekolahan ini apabila mereka membeli keperluan dan kelengkapan mengikut selera masing-masing terutama beg.

“Saya dan suami juga juga sudah menyediakan tiga pasang pakaian dan sepasang kasut hitam untuk setiap mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, di Kota Bharu, hari ini.

Tiga beradik itu, Nurain Fatma Zawawi, 11, Nurain Sofea, 10, dan Nurain Sasabila, 6, lemas selepas ke pantai berkenaan bersama ibu saudara untuk menghabiskan cuti sekolah.

Nur Syahida berkata, dia dan suaminya, Zawawi Wahab, 42, tidak keberatan mengikut kehendak anak mereka dalam membeli peralatan sekolah kerana masing-masing akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Perol dan Tadika PASTI.

Malah, katanya, ketiga-tiga mereka turut menyimpan kemas peralatan itu di dalam bilik tidur mereka selain mengambil gambar barangan sudah dibeli untuk dikongsi bersama rakan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ketiga-tiga mereka sangat rapat dengan saya dan suami. Sudah tentu kehilangan mereka sangat kami rasai tetapi tetap reda kerana ini ujian Allah SWT dan kami perlu kuat,” katanya.

Zawawi berkata, ketiga-tiga anaknya manja dan rapat sekali gus menyukarkan dia untuk menghadapi kehilangan itu.

“Memandangkan semua anak kami perempuan jadi mereka sedikit manja. Jika luka sedikit pun mereka boleh menangis. Semua kenangan dengan mereka di rumah ini sukar untuk dihilangkan dan buat saya sentiasa teringat.

“Sebelum ini, apabila mendengar ada kematian anak rakan, saya sering bertanya adakah kuat untuk menghadapi ujian begitu, tetapi kali ini ia benar-benar terjadi kepada saya,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri mengizinkan mereka bercuti bersama ibu saudara kerana hubungan erat antara mereka dan sudah menganggap sebagai ibu sendiri.

Sebelum ini katanya, anaknya sering mengikut ibu saudara mereka bercuti termasuk ke Gua Musang.

Akhbar sebelum ini melaporkan percutian empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik Nurain Fatma, Nurain Sofea, dan Nurain Sasabila lemas akibat ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, jam 6.40 petang Ahad lalu.

Mayat Nurain Sofia ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 7.48 pagi Isnin dalam jarak lima kilometer dari tempat jatuh, manakala Nurain Salsabila, ditemui pada jam 9.40 pagi dan Nurain Fatma pada jam 11.03 pagi.

Berita berkaitan

Perlu tahu 'edah' tutup kuala

'Terkenang ciuman terakhir tiga beradik [METROTV]'

'Anak-anak akan berdoa bertemu kami di syurga'

Ibu pengsan lihat jenazah tiga anak

[UPDATE] Mayat dua daripada tiga beradik lemas ditemui

Guna kaedah pencarian di pesisir pantai

'[UPDATE] Tiga beradik berpelukan selepas dipukul ombak'

'Tiga beradik hilang ditarik ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:08 PM