Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANAK seorang menteri ditahan bersama 101 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 3 pagi.

Difahamkan lelaki itu bersama rakannya berusia 33 tahun dipercayai sedang berhibur ketika operasi dijalankan.

Ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif ganja.

Sumber berkata, seramai 101 individu membabitkan 55 wanita dan 46 lelaki diperiksa.

“Lelaki terbabit kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk pemeriksaan lanjut dan ujian saringan kedua dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian juga sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 3:15 PM