ANTARA serpihan tayar yang ditemui di tepi jalan.
Mohd Azam Shah Yaacob


KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dan Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia Berhad (SIRIM) berhubung isu penggunaan tayar celup yang menjadi punca utama lebih 10,000 kemalangan di negara ini
setiap tahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kerjasama itu nanti turut membabitkan perbincangan mengenai penguatkuasaan bersama selain semakan semula kualiti tayar celup yang dipasarkan di negara ini khususnya bagi penggunaan oleh kenderaan berat.

Katanya, buat masa ini, ada tayar celup yang dipasarkan dalam negara memang mendapat kelulusan berdasarkan standard dikeluarkan SIRIM dan hanya badan itu yang boleh menentukan sama ada tayar dipakai menepati piawaian.


KOS tayar celup jauh lebih murah daripada tayar asli.

“Di negara ini, tayar celup memang digunakan secara meluas dalam industri pengangkutan dan ada antaranya mendapat kelulusan piawaian ditetapkan SIRIM berdasarkan spesifikasi ditetapkan kerajaan.

“Cuma masalahnya adalah, ada segelintir pengguna dalam industri pengangkutan itu tidak menggunakan tayar celup yang mengikut standard SIRIM, sebaliknya menggunakan tayar dikeluarkan oleh pembuat tayar celup tidak berlesen.

“Jadi, pemeriksaan atau penguatkuasaan tayar celup ini lebih bersifat teknikal yang boleh ditentukan oleh pegawai SIRIM sendiri bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan mereka,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.


SERPIHAN tayar boleh membahayakan nyawa penunggang motosikal.

Shaharuddin berkata, selain tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi SIRIM, pihaknya juga akan berbincang mengenai penguatkuasaan terhadap penggunaan tayar korek.

Katanya, sama seperti tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi, penggunaan tayar korek iaitu tayar yang sudah botak namun ditoreh semula, juga cukup berbahaya kerana keadaan bunga tayar yang kurang cengkaman.

“Tayar korek ini sama atau lebih bahaya daripada tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi SIRIM kerana ia kurang menghasilkan cengkaman,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam lawatan kerja di Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pejabat Wilayah Utara, Pulau Pinang berkata, lebih 10,000 kemalangan di negara ini setiap tahun adalah berpunca akibat penggunaan tayar celup.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:18 AM