TENGKU ABDULLAH. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hanya boleh ditabalkan sebagai Sultan Pahang sekiranya ayahandanya, Sultan Ahmad Shah turun takhta dengan reda hati sendiri.

Berdasarkan kepada Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Raja Pemerintah iaitu Sultan Ahmad Shah boleh turun takhta dan melepaskan hak serta kuasa diraja jika baginda ingin berbuat demikian dengan reda hati sendiri dan perlu menandatangani Surat Perintah.

“Jika pada masa turun dari takhta, Raja Pemerintah itu bersemayam dalam negeri ini (Pahang), maka perintah mengesahkan turun dari takhta hendaklah dijalankan dengan suatu Surat Perintah ditandatangani baginda dan diletak cop Mohor Negeri.

“Surat Perintah berkenaan hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu,” mengikut kandungan tertulis dalam dokumen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Ia turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah atau Sultan Ahmad Shah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dengan diletak cop Mohor Negeri ditandatangani Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Kerajaan Pahang.

“Selepas selesai disempurnakan Surat Perintah turun takhta, maka Raja Pemerintah hendaklah disifatkan bukan lagi Raja Pemerintah dan menarik diri daripada hak-hak dan tuntutannya ke atas negeri.

“Surat Perintah turun takhta itu hendaklah diisytiharkan dalam Warta Kerajaan dan dihebahkan kepada penduduk-penduduk negeri dengan seberapa segera,” mengikut dokumen berkenaan.

Portal, twentytwo13.my hari ini dipetik sebagai berkata, kemungkinan Tengku Abdullah bakal ditabalkan sebagai Sultan Pahang bagi membolehkannya menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Memetik sumber dekat Istana Pahang, portal itu melaporkan ada perbincangan bagi tujuan itu dan sekiranya berjalan lancar Tengku Abdullah akan ditabalkan sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahandanya dalam masa terdekat.

“Ia berkaitan masalah kesihatan... untuk menjadikannya, baginda perlu ditabal sebagai Sultan (Pahang) oleh ayahandanya (Sultan Ahmad Shah) untuk mengambil alih dan pertabalan harus diadakan secepat mungkin,” kata sumber itu kepada portal berkenaan.

Tengku Abdullah dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi kerajaan negeri bertarikh 28 Disember 2016.

Sementara itu, sumber rapat dengan Tengku Abdullah dan Pejabat Sultan Pahang di Pekan ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Difahamkan, Tengku Abdullah dijangka kembali ke tanah air Jumaat ini dan kini berada di London untuk menghantar anakandanya, Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun Sultan Ahmad Shah dikatakan sedang gering dan Tengku Abdullah boleh ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI sekiranya baginda dilantik sebagai Sultan Pahang.

Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Ahad lalu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:41 PM