AMIR melihat hasil karyanya yang dipamerkan di We & I Art Fest di Oasis Damansara, Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Kekurangan fizikal sudah menjadi satu cabaran perlu ditempuhi. Tetapi kekurangan itu kini menjadi kelebihan dan membantu saya untuk lebih menonjol.

“Dalam bidang ini semua jurugambar memiliki ketinggian normal kecuali saya,” kata remaja kerdil, Amir Hamzah Fadhil Hassan Ismail Yassin, 19, kini aktif sebagai jurugambar bebas.

Amir berkata, sejak kecil dia meminati bidang fotografi namun hanya aktif sebagai jurugambar bebas sejak dua tahun lalu selepas mendapat galakan daripada abangnya, Adam Harith, 23.

Anak bongsu dari tiga beradik itu mengakui fizikalnya menyukarkannya menjalankan tugas sebagai jurugambar.

Namun baginya, semua halangan dan kesukaran itu diketepikan demi memenuhi minatnya serta mahu terus maju dalam bidang itu.

“Mulanya, saya hanya mengambil gambar untuk koleksi peribadi, tetapi lama-kelamaan, saya ambil keputusan untuk lebih serius dan menimba lebih banyak pengalaman sebagai jurugambar bebas.

“Berasak-asak dalam majlis atau program menjadi cabaran utama saya. Tapi saya memang sudah buat persediaan untuk berdepan semua itu.

“Kenangan manis tidak dapat saya lupakan apabila diberi kepercayaan mengambil gambar potret isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,” katanya.


AMIR ketepikan kekurangan diri demi menimba pengalaman sebagai jurugambar bebas. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Graduan Monash University itu berkata, kegemarannya mengambil gambar landskap dan pemandangan.

Katanya, dia menggunakan kesempatan melancong di luar negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) untuk merakam gambar pemandangan.

Lebih menarik, Amir masih menggunakan kamera analog (manual) dan bukan digital seperti kebanyakan jurugambar lain ketika ini.

“Memang puas apabila hasil karya menjadi antara bahan dipamerkan pada We & I Art Fest membabitkan komuniti orang kurang upaya (OKU) di Oasis Damansara, baru-baru ini,” katanya.

Amir tidak berhasrat menjadikan bidang itu sebagai kerjaya pada masa akan datang, sebaliknya mahu membuktikan kepada orang ramai insan kerdil juga mampu melakukan perkara sama seperti individu normal.

“Selepas ini saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat ijazah seterusnya mencari pekerjaan dalam bidang berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 9:44 AM