Remaja lelaki berusia 14 tahun maut digilis lori 25 tan selepas basikal ditunggang bergesel dengan lori berkenaan dalam kejdian di hadapan Masjid Sungai Ramal, Kajang 11.30 pagi hari ini. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


REMAJA lelaki maut apabila basikal ditunggang bergesel dengan lori 25 tan membawa muatan beras dalam kejadian berhampiran Masjid Sungai Ramal Luar di Kajang, 11.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa, 14, yang bersekolah di Tingkatan Dua dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal Luar.

Katanya, sebaik tiba di hadapan Masjid Sungai Ramal Luar, basikal dipandu mangsa bergesel dengan lori membawa muatan beras dipandu lelaki berusia 38 tahun yang datang dari arah belakang.

“Akibat digesel lori berkenaan, mangsa terjatuh sebelum digilis lori berkenaan menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman yang agak parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pemandu lori berkenaan bertindak melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana bimbang dipukul penduduk di situ sebelum membuat laporan polis.

Katanya, pemandu berkenaan kini ditahan dan rakaman keterangan awalnya turut dirakamkan.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan Cawangan Narkotik IPD Kajang mendapati pemandu itu negatif mengambil barang terlarang.

“Bagaimanapun, lelaki itu akan kita bawa ke Hospital Kajang bagi menjalani ujian darah,” katanya.

Menurut Ahmad Dzaffir, lelaki itu akan direman di Mahkamah Kajang esok dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:42 PM