ANUGERAH disampaikan Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong.
Georgie Joseph


“Mungkin ramai orang sangka pelakon tak boleh menyanyi, tapi saya buktikan berjaya memperbaiki diri,” kata pelakon dan penyanyi popular, Fazura yang menerima Anugerah Platinum daripada Universal Music Malaysia apabila album sulungnya berjudul Fazura terjual lebih 200,000 unit merangkumi album fizikal serta jualan digital di semua platform penstriman.

Fazura ketika ditemui berkata, dia terharu dan seperti tidak percaya dengan pencapaian itu.

Menurut Fazura, usahanya terus memperbaiki kualiti serta mutu sebagai penyanyi nyata berbaloi.

“Ketika diberi Anugerah Emas sebelum ini pun saya rasa satu pencapaian besar untuk penyanyi baru seperti saya. Apabila dapat anugerah lagi, saya seperti tak percaya hingga saya tanya adakah mereka (Universal Music Malaysia) tipu saya.

“Alhamdullilah, ini satu hadiah tahun baru yang cukup bermakna. Kejayaan ini pertamanya datang daripada Allah; kedua, peminat yang sentiasa percayakan saya. Mungkin lagu saya dalam album itu secara tidak langsung menambat hati mereka sekali gus membelinya,” katanya.

Pada 2016, Fazura teruk dikecam apabila dikatakan memberi persembahan tidak memuaskan di konsert sempena perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketika itu, rata-rata netizen meminta adalah lebih baik Fazura kekal sebagai pelakon, bukannya penyanyi.

Mengulas mengenai insiden itu, Fazura berkata, dia enggan menyalahkan sesiapa.

“Itu adalah dugaan Allah untuk saya. Saya percaya kita kena jatuh dulu sebelum boleh terbang. Saya tidak salahkan kata-kata mereka dan itu juga menjadi doa serta kejayaan ini membakar semangat saya untuk bekerja keras memperbaiki diri,” katanya.

Tampil dengan single baru berjudul Can’t Forget Me ciptaan Cameron Forbes dan Willy Beaman, Fazura berkata, dia merakamkan lagu Inggeris sebagai hadiah buat peminat di seluruh dunia.

“Saya buat lagu Inggeris kerana saya ada peminat di Filipina, Indonesia, Singapura dan negara lain termasuk China, jadi ini hadiah untuk peminat di Malaysia serta luar negara,” katanya.

Berkongsi mengenai proses rakaman lagu itu di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, Fazura berkata, dia tetap berdepan cabaran tersendiri.

“Dapat bekerjasama dengan komposer dari LA adalah satu penghormatan dan pengalaman yang menyeronokkan. Bagaimanapun, masa sangat terhad di sana.

“Sebelum itu saya berada di New York untuk pertunjukan fesyen. Apabila tiba di LA, saya kena kerja keras sebab masa sangat singkat dengan tak cukup tidur dan sebagainya. Saya cuma ada lima jam untuk memerah idea dengan penerbit yang saya tak pernah jumpa. Namun, mereka buat saya rasa selesa.

“Mereka percaya dengan saya walaupun baru jumpa dan prosesnya sangat mudah. Saya menulis lagu ini dengan Cameron dan belajar untuk menulis lirik. Willy juga kerap bertanya apa yang saya mahukan dan terus lakukan.

“Keesokannya, banyak perkara saya kena selesaikan dan pada sebelah malam terus buat rakaman. Memang penat sangat sebab tidak cukup tidur. Saya nak beri yang terbaik untuk lagu ini. Saya tak mahu apabila pulang ke Malaysia, saya akan menyesal sebab tidak beri sehabis baik,” katanya.

Bercerita mengenai pembikinan video muzik Can’t Forget Me, Fazura teruja dengan hasil keseluruhan video arahan Fabian Joseph dan Sarah Lloyd itu walaupun kakinya terseliuh ketika penggambaran.

“Pada hari pertama penggambaran pun sudah ada dugaan dengan hujan lebat. Ketika itulah saya terjatuh dan berlaku hentakan kuat di bahagian keting. Selepas itu saya kena menari serta menyanyi selama dua hari dan ia memang mencabar.

“Alhamdullilah apa yang saya imaginasikan serta terjemahkan tercapai dalam video klip itu. Saya harap siapa yang menonton video klip itu jangan tengok itu diri saya. Sebaliknya bayangkan itu adalah diri anda, rasa yakin, rasa perkasa dan sayangi diri anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 6:00 AM