BELLA dan Arif. FOTO Ihsan Bella Dally
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON Bella Dally mengaku sudah bertunang dengan jejaka pilihannya yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Arif, 34, pada Sabtu lalu di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Bella, 28, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally berkata, keputusan bertunang dibuat selepas lima bulan berkawan dan saling mengenali hati budi.

“Arif adalah kenalan sepupu dan beberapa rakan lain. Apabila sering berjumpa beramai-ramai, kami jadi rapat dan cinta pun berputik.

“Saya dapat rasakan antara kami ada keserasian. Begitu juga dengannya. Dalam masa sama, saya pula jenis yang serius dalam perhubungan dan tak nak buang masa. Orang kata, perkara bagus sebaiknya dipercepatkan.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan melalui fasa ini sekali lagi. Walaupun selepas bercerai saya pernah cakap nak memberi fokus pada kerjaya dan belum fikir soal mencari pengganti, tapi siapa saya untuk menidakkan ketentuan Allah SWT? Inilah yang dikatakan jodoh,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bella, majlis itu diadakan secara tertutup membabitkan kedua belah keluarga dan kenalan rapat.

Dalam masa sama Bella berkata, buat masa sekarang dia belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai hubungannya itu kerana masih dalam fasa pertunangan.

“Cukup untuk saya kongsikan apa yang patut saja. Lagi pula, saya tak suka nak berahsia. Lambat laun orang akan tahu juga. Jadi, lebih baik saya bercakap jujur.

“Apa yang penting, saya ingin peminat tahu saya kini dalam fasa gembira dan bahagia. Doakan yang baik-baik untuk kami dan semoga apa yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah,” katanya.

Ditanya mengenai majlis perkahwinan, Bella berkata dia merancang untuk bernikah tahun ini, namun belum ada sebarang tarikh ditetapkan.

Berkongsi ciri-ciri yang ada pada Arif hingga membuatkannya jatuh cinta, menurut Bella jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu seorang yang ‘gentleman’ dan bertanggungjawab.

“Dari awal perkenalan lagi dia tahu status saya dan dia boleh terima. Cuma, dia baru tahu saya selebriti. Sejak itu, dia mulai mengikuti perkembangan saya di Instagram.

“Apa yang membuatkan saya yakin untuk membawa hubungan ini ke fasa serius adalah dia seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan ‘gentle’.

“Alhamdulillah, kedua belah keluarga merestui hubungan kami. Macam keluarga saya, mereka sentiasa sokong keputusan saya asal saja saya gembira,” katanya.

Terdahulu, Bella pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada 10 September 2016 sebelum bercerai pada 2 Mei tahun lalu.

Perkahwinan mereka itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:41 AM