Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Elakkan campur tangan individu tertentu dalam membuat keputusan mengenai perolehan peralatan keselamatan termasuklah baju kalis api demi keselamatan dan nyawa anggota bomba.

Perkara itu ditegaskan bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Dr Soh Chai Hock ketika mengulas laporan Harian Metro mengenai 30 hingga 40 peratus anggota bomba di seluruh negara terpaksa berkongsi baju kalis api usang, koyak dan lusuh ketika bertugas.

Laporan eksklusif bermula Selasa lalu itu juga mendedahkan rampasan 6,000 baju kalis api dari JBPM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM13.5 juta kerana kontraktor diluluskan tender, memalsukan sijil perakuan pakaian keselamatan itu.

SPRM dalam kenyataan semalam mengesahkan contoh baju kalis api yang dirampas pihaknya itu tidak selamat digunakan rentetan pengesahan Jabatan Kimia bahawa pakaian keselamatan berkenaan dihasilkan daripada bahan plastik (polyster).

Untuk rekod, JBPM atau kerajaan sudah membayar RM13.2 juta kepada kontraktor dilantik membekalkan baju kalis api itu yang setiap satunya berharga antara RM2,400 hingga RM2,500.

Menurut Soh, campur tangan pihak luar terutama mereka yang berkepentingan menjejaskan keselamatan anggota bomba.

“Ini seperti yang sudah berlaku. Bagaimana 6,000 baju kalis api yang tidak menepati standard ditetapkan JBPM diluluskan perolehan. Nasib baik ia dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Bagi menangani masalah ini, JBPM perlu mewujudkan jawatan kuasa khas bagi memeriksa peralatan dibekalkan dan bukannya ia ditentukan pihak luar berkepentingan,” katanya.


SOH menjelaskan empat keutamaan anggota bomba termasuk keselamatan diri.

Untuk rekod, Soh bertugas dalam JBPM selama 36 tahun. Beliau juga mengetuai agensi berkenaan selama tiga tahun enam bulan, selain menjadi individu yang bertanggungjawab mewujudkan budaya korporat dalam jabatan itu sehingga dikenali di mata dunia.

Mengulas pendedahan Harian Metro, Soh berkata, anggota bomba mendedahkan diri kepada risiko jika tidak dilengkapi peralatan canggih dan lengkap kerana ia seperti misi bunuh diri.

“Setiap anggota bomba perlu dilengkapi dengan peralatan canggih dan lengkap bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Benar, keutamaan anggota bomba adalah menyelamatkan nyawa, harta benda dan mengembalikan situasi kecemasan kepada normal. Namun, perkara paling penting melangkaui ketiga-tiga perkara itu adalah keselamatan mereka sendiri.

“Pimpinan JBPM tidak boleh berkompromi dalam isu ini. Bayangkan jika baju kalis api itu tidak dirampas dan digunakan anggota bagi memadam kebakaran, sudah tentu misi menyelamat bertukar menjadi misi bunuh diri.

“Anda bayangkan apa akan jadi kepada ahli keluarga anggota bomba itu. Ramai isteri akan jadi janda dan anak pula menjadi anak yatim. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Soh berkata, baju kalis api yang usang, koyak dan lusuh yang terpaksa digunakan anggota bomba akan menyebabkan komitmen terhadap tugas berbelah bagi.

“Anggota bomba sedar baju itu tidak selamat. Jadi, kita tidak boleh tolak kemungkinan bahawa misi menyelamat tidak berjaya kerana kurangnya komitmen.

“Mereka bukannya bodoh, jika baju tidak berkualiti (seperti dirampas SPRM), anggota pasti tidak akan masuk ke dalam bangunan terbakar,” tegasnya.


BUKU visi dan misi JBPM yang perlu menjadi pegangan setiap anggota serta pegawai.

Katanya, dia menasihatkan pimpinan JBPM supaya turun ke padang untuk menyelami masalah anggota bawahan.

“Kembalikan semula budaya percaya dan hormat antara pimpinan serta anggota,” katanya mengakui JBPM antara terkedepan jika dibandingkan beberapa negara lain.

Tambahnya, selain penyediaan peralatan lengkap, kerajaan juga perlu melaburkan wang dalam meningkatkan kemahiran anggota bomba.

“Hantar anggota dan pegawai kita ke negara maju seperti Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menimba ilmu dan pengalaman bertugas di sana,” katanya turut menjelaskan jumlah keanggotaan bomba sekitar 14,000 tidak mampu menampung ratio penduduk.

Katanya, standard antarabangsa menetapkan ratio bagi 100,000 penduduk adalah memerlukan 167 anggota dan dari aspek berkenaan, Malaysia jauh ketinggalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:00 AM