KAKITANGAN Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor membuat pemantauan ketika operasi penguatkuasaan bersepadu kilang kitar semula plastik terpakai sekitar Pelabuhan Klang.
Amir Abd Hamid


Pelabuhan Klang: Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) memberi tempoh sehingga Mac ini untuk menutup 100 kilang plastik haram di seluruh negara.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, tempoh itu diarahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaras penetapan Petunjuk Prestasi Menteri (MKPI) untuk meningkatkan penguatkuasaan 100 peratus.

Beliau berkata, kerajaan sangat bertegas membanteras kewujudan lambakan kilang haram yang bukan saja memproses sisa plastik tempatan malah diimport dari luar negara.


ANTARA sisa plastik yang ditemui ketika operasi penguatkuasaan bersepadu kilang kitar semula plastik terpakai sekitar Pelabuhan Klang.

“Sehingga kini, sebanyak 61 kilang kitar semula sisa plastik haram di Selangor sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan ini.

“Ada kira-kira 40 kilang lagi yang terletak bukan saja di Selangor malah enam di Johor, 10 masing-masing di Kedah dan Negeri Sembilan, dua di Pulau Pinang, tujuh di Perak serta satu kilang di Kelantan bakal dikenakan tindakan sama.

“Malah, saya memberi amaran akan mengambil tindakan sama terhadap kilang berlesen sekiranya tidak mematuhi akta alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu ke kilang kitar semula plastik terpakai di sekitar Telok Gong, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Operasi terhadap dua kilang haram itu disertai JAS, Suruhanjaya Tenaga (ST), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat AIR Selangor.


YEO

Yeo berkata, tiga kes di Selangor sudah diputuskan hukuman oleh mahkamah dengan kompaun sebanyak RM229,000.00 dan satu hari penjara kepada pengusaha.

“Sebanyak 36 kes lagi dalam syor mahkamah.

“Bagi menjayakan sasaran menutup 100 kilang haram menjelang suku pertama tahun ini, JAS menubuhkan pasukan khas peringkat ibu pejabat dan negeri yang akan merancang dan melaksanakan operasi bersepadu di negeri masing-masing.

“Pada hari ini (semalam), JAS Kedah turut menjalankan operasi bersepadu membabitkan serbuan ke atas tiga kilang kitar semula plastik terpakai yang beroperasi secara haram,” katanya.

Katanya, semua sisa plastik yang sudah atau belum diproses dan dikitar semula di kilang haram itu akan dilelong dan dilupuskan.

Beliau mengakui kilang kitar semula haram paling banyak wujud di Selangor dan kerana itu operasi giat dilakukan di negeri ini.

“Selepas Selangor, kita akan ke Kedah pula dan melancarkan operasi memburu kilang haram di seluruh negara.

“Saya beri amaran kepada mana-mana pihak jangan berani untuk membuka lagi kilang haram ini kerana sejak Julai lalu kita sudah menghentikan import sisa plastik dan jika masih berdegil, tindakan undang-undang akan dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, pemberian lesen import (AP) bagi sisa plastik sudah dihentikan kepada mana-mana syarikat sejak ia dibekukan pada Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 9:00 AM