PELAKON, Syafiq Kyle. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


PELAKON popular, Syafiq Kyle tidak kisah jika babak panas yang dilakonkannya dalam drama bersiri terbaru, Nur 2 mendapat kecaman netizen.

Syafiq berkata, dalam drama itu lebih banyak babak panas ditampilkan membabitkan watak Ustaz Adam lakonannya dan Juita lakonan Azar Azmi.

“Saya tidak takut kecaman netizen kerana sebagai pelakon saya perlu pastikan babak panas dilakonkan itu beri impak terhadap lakonan,” katanya.

Menurut Syafiq, dia menjanjikan yang terbaik pada lakonan.

“Pada permulaan cerita memang orang akan kecam, tetapi selepas memahami jalan cerita dan mesejnya barulah mereka akan menyukainya sama seperti drama Nur sebelum ini.

“Saya sendiri menyukai watak Ustaz Hamadi dan Aishah kerana ia memang dekat dengan masyarakat kita. Saya juga percaya, penonton juga akan lebih meminati dan mengagumi watak Ustaz Adam dalam drama Nur 2 nanti,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Azar yang akan melakonkan watak antagonis Juita, Syafiq berkata, dia pernah bekerjasama dengan pelakon itu sebelum ini.

“Saya belum lagi memulakan penggambaran babak dengan Azar tetapi watak Juita itu memang sangat ‘daring’. Sebab itu, saya faham kenapa Nelydia Senrose terpaksa menolak tawaran watak Juita kerana dia juga baru kembali dari menjalani ibadah umrah, baru-baru ini,” katanya.

Mengulas sama ada drama Nur 2 akan mencetuskan fenomena seperti yang pertama, kata Syafiq, dia hanya menyerahkan kepada penilaian penonton.

“Saya sangat teruja dengan jalan cerita Nur 2 yang lebih bagus dan di luar kotak. Saya sendiri sudah sebati dengan watak Ustaz Adam. Selain penambahan watak yang lebih bagus, kami juga rapat dan bagaikan keluarga yang besar,” katanya.

Drama bersiri 15 episod arahan Shahrulezad Mohameddin itu dijangka ditayangkan di Slot Samarinda TV3 pada Mac nanti.

Selain Syafiq dan Azar, drama hebat ini turut menyaksikan kemunculan barisan pelakon asalnya seperti Amyra Rosli, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 9:42 AM