ERPHA bersama koleksi jahitan fesyen Barbie ala vintaj yang dijahit. FOTO/NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Erpha Ahdayani Othman, 41, yang minat menjahit sejak kecil bijak mengambil peluang dengan menjadikan hobinya itu sebagai mata pencarian utama dalam bidang rekaan dan jahitan fesyen pakaian anak patung Barbie.

Lebih membanggakan, hasil kreativitinya bukan saja menjadi perhatian pelanggan dalam negara, malah pengumpul dan penggemar fesyen vintaj Barbie dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Hong Kong.

Erpha yang menetap di Bintulu, Sarawak berkata, dia bukanlah pengumpul tegar Barbie, namun ilham mengusahakan pakaian Barbie tercetus apabila dia mengenang minat zaman kanak-kanaknya yang gemar menjahit pakaian anak patung berkenaan.

“Saya suka sangat dengan warna dan fabrik cantik, tekstur dan corak pada renda serta reben aksesori rambut sampaikan saya sanggup simpan kain-kain perca yang emak sudah gunakan.

“Perincian halus ini sangat menarik hati saya dan masa kecil dulu, anak patung inilah tempat saya kembangkan idea dan kreativiti saya.


ERPHA sedang menjahit.

“Ketika emak tiada di rumah, saya curi-curi menjahit bermula dengan jahit tangan kemudian menggunakan mesin jahit emak hingga ada ketikanya ia rosak menyebabkan saya dimarahi emak,” katanya dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, kesibukan sebagai pelajar sekolah dan penuntut universiti menyebabkannya meninggalkan seketika hobi itu sebelum menyambung kembali mengusahakannya selepas berumah tangga.

“Selepas melahirkan anak sulung pada 2004, saya sambung kembali hobi lama dan mula mengambil tempahan pakaian orang dewasa dan patung Barbie.


KOLEKSI jahitan fesyen Barbie ala vintaj.

“Ketika itu, saya masih menggunakan playline Barbie dan pada masa sama mula mengambil tempahan pakaian kanak-kanak, cekak rambut bayi dan kolar kucing.

“Sepuluh tahun kemudian, saya beralih pula kepada silkstone Barbie dan menumpukan jahitan pakaian Barbie khas untuk pengumpul dewasa dengan memilih rekaan fesyen klasik era 60-an,” katanya.

Katanya, meskipun zaman berubah, permintaan terhadap fesyen vintaj untuk anak patung berkenaan masih tinggi dan ada nilai tersendiri.


KOLEKSI jahitan fesyen Barbie ala vintaj.

“Saya lebih suka sesuatu lain daripada lain sebab itu saya memilih rekaan fesyen barat era 60-an.

“Lagipun, tidak ramai yang buat fesyen ala-ala vintaj untuk pakaian Barbie, namun di luar negara masih ada peminat dan pengumpul yang minat.

“Pelanggan saya biasanya dari kalangan pengumpul dewasa dan mereka yang lebih gemar dengan fesyen vintaj berbanding moden,” katanya yang menjual hasil produknya menerusi atas talian dalam platform antarabangsa ETSY.

Erpha berkata, antara cabaran yang dilalui adalah mendapatkan aksesori tambahan untuk pakaian Barbie dan kekangan peralatan selain pesaing dari luar negara.

Sepasang pakaian Barbie dijual antara RM90 dan RM250.


KOLEKSI jahitan fesyen Barbie ala vintaj.

“Hobi ini boleh dikatakan agak eksklusif di Malaysia jadi, saya terpaksa cari bahan berkualiti dan hanya dijual di luar negara.

“Bagi peralatan pula, sebahagian daripadanya saya dan suami fikirkan idea dan kami buat sendiri.

“Saingan memang banyak sebab ramai orang luar negara buat hobi ini, tetapi saya tidak mahu mengalah dengan hasilkan produk bermutu dan kemas mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:17 AM