WANITA Rohingya menangis sambil memeluk anak perempuannya selepas ditahan Pasukan Keselamatan Sempadan India di sempadan India-Bangladesh. - Reuters
Agensi

BAZAR, BANGLADESH: Sejak beberapa bulan lalu, lebih 1,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari India dengan harapan mendapat perlindungan ke Bangladesh kerana bimbang dihantar pulang ke Myanmar.

Panik dalam kalangan 40,000 Rohingya di India bermula 4 Oktober lalu, apabila kerajaan negara itu menghantar pulang tujuh pelarian Rohingya yang dipenjara di Assam sejak 2012 kerana memasuki India tanpa dokumen sah.

Menurut laporan Al Jazeera, Zakir Hossain, 25, yang melarikan diri ke Hyderabad sejak 2014, berkata: “Mendengar kemungkinan dihantar pulang ke Myanmar amat mengerikan.”

“Sejak April tahun lalu, polis India mula mengunjungi kem kami, mengarahkan kami mengisi borang dan merekodkan data biomterik kami.

“Berita tersebar di seluruh kem kami akan dihantar pulang ke Myanmar.”

Kumpulan hak asasi mengecam tindakan India menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar yang mencabul prinsip hak asasi manusia. Prinsip itu melarang sesebuah negara daripada menghantar pulang pelarian atau pemohon suaka politik ke wilayah yang mengancam nyawa dan kebebasannya.

Menurut Zakir, keadaan di India semakin membimbangkan dengan pemimpin Hindu tempatan mula mengancam.

“Mereka kata akan membunuh kami jika tidak meninggalkan India,” katanya.

Zakir mengumpul keluarganya, termasuk ibunya dan mereka bergerak ke Bangladesh sebelum kejadian bertambah buruk di India.

Mereka mengambil masa tiga bulan untuk sampai ke Bangladesh dan setiba di sempadan, Pasukan Keselamatan Sempadan India menahan mereka selama sehari sebelum dibenarkan menyeberang.

Pengawal Sempadan Bangladesh kemudian menyerahkan mereka kepada polis sebelum dihantar ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, bersama lebih sejuta lagi pelarian.

Menurut Zakir, sejak awal tahun ini, kira-kira 1,300 pelarian Rohingya melarikan diri dari India ke Bangladesh.

AFP melaporkan, minggu ini, seramai 61 Rohingya ditahan polis India dengan 31 daripada mereka yang tersangkut di kawasan antara sempadan Bangladesh dan India.

Kerajaan India mengarahkan semua Rohingya didaftarkan untuk dihantar pulang dengan alasan mereka ‘mudah direkrut oleh kumpulan pengganas.’

Ada kira-kira 40,000 pelarian Rohingya di India namun hanya 18,000 daripada mereka berdaftar dengan agensi pelarian PBB, UNHCR, sebagai pelarian atau pemohon suaka politik.

Pelarian Rohingya di New Delhi, Mohammad Salimullah, yang menjalankan perniagaan kedai runcit kecil di kawasan Kalindi Kunj berkata, dia sudah dikunjungi polis yang mengarahkannya mengisi borang enam muka data peribadi beberapa bulan lalu.

“Kami bimbang akan dihantar pulang ke Myanmar, seperti yang mereka lakukan kepada pelarian Rohingya di Assam.

“Kini, anak kami tidak lagi boleh ke sekolah kerana memerlukan kad Aadhaar (kad pengenalan bagi rakyat India) dan kami tidak memilikinya,” katanya yang tiba di India pada 2012.

“Saya tidak menyalahkan India atau Bangladesh. Ia sudah takdir kami,” katanya yang tiba di India pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:30 AM