ANGGOTA imigresen memeriksa wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan.
Nurul Hidayah Bahau din


Kuala Lumpur: Tidak ubah seperti penganjuran pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss World apabila puluhan ‘ayam seksi’ Vietnam dan Thailand diperagakan untuk lelongan umum bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Itu antara kegiatan tidak bermoral dilakukan sebuah pusat hiburan elit di Jalan Imbi di sini, bertujuan menarik pelanggan lelaki tempatan mengunjungi premis itu.

Peserta terdiri daripada pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang menyertai acara itu akan dinobatkan sebagai pemenang berdasarkan jumlah kain selempang dan kalungan bunga dihadiahkan pelanggan.

Berdasarkan risikan dilakukan pihak berkuasa, penganjur akan menawarkan kain selempang dan kalungan bunga untuk dibeli pada harga antara RM50 hingga RM1,000.

Pemenang bertuah pada setiap malam akan dipakaikan mahkota ‘emas’ dan jubah sebelum diarak dan diserahkan kepada pelanggan yang sanggup berbelanja besar.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan pihak berkuasa menyerbu premis itu jam 3 pagi semalam.


PEGAWAI JAWI memeriksa tahap kandungan alkohol pengunjung di sebuah pusat hiburan yang diserbu.

Dalam serbuan Operasi Bersepadu Pusat Hiburan itu, seramai 21 wanita warga Thailand serta dua wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun selain dua lelaki tempatan masing-masing berusia 32 dan 34 tahun ditahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, pemeriksaan mendapati pusat hiburan berkenaan beroperasi tanpa lesen sejak November lalu.

“Semakan mendapati pusat hiburan itu ada memohon lesen pada awal bulan ini, namun didapati sudah memulakan operasi walaupun kelulusan (lesen) belum dikeluarkan menyebabkan kami menutup dan menyita barangan di pusat hiburan terbabit yang didapati beroperasi secara haram.

“Malah, pusat hiburan ini didapati menggunakan GRO dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM10,000 bergantung kepada kepuasan pelanggan.

“Siasatan mendapati terdapat penganjuran persis pertandingan ratu cantik dan pelanggan boleh memilih GRO dihajati berdasarkan nilai kalungan bunga atau selempang dibeli,” katanya.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Dalam serbuan di premis berkenaan, pihak JAWI turut mengeluarkan notis perintah hadir ke sesi kursus pemantapan akhlak terhadap 14 individu beragama Islam.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya turut menyerbu sebuah pusat hiburan elit di Jalan Loke Yew, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Katanya, seraai 50 pengunjung warga asing diperiksa dalam premis berkenaan dengan dua wanita warga China berusia lingkungan 20-an ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

“Selain itu, pemeriksaan ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap 50 pengunjung tempatan dan warga asing di pusat hiburan berkenaan mendapati dua daripada mereka positif dadah.

“Pihak JAWI turut menahan dua individu termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia lingkungan 20-an yang didapati minum minuman keras,” katanya.

Ketika serbuan dilakukan di pusat hiburan di Jalan Loke Yew itu, sedang berlangsung sambutan hari lahir seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang diraikan bersama ahli keluarga dan rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 10:01 AM