ORANG ramai cuba membantu anggota polis yang digilis lori di simpang masuk ke Taman Rose Merah, Nilai, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


SEORANG anggota polis maut digilis lori dalam kejadian langgar lari di Jalan Besar Pekan Nilai berhampiran simpang masuk ke Taman Rose Merah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata dalam kejadian 12 tengah hari itu, Konstabel Mohd Syafiq Ramlan, 26, yang berkhidmat di Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan maut di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang beruniform lengkap dalam perjalanan dari Nilai menuju Kuala Pilah bagi bantuan tugas di Balai Pengawal Istana Seri Menanti.

“Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal Honda Dash di belakang lori dari arah Nilai menghala ke Labu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori mahu membelok ke kiri dan mangsa terjatuh ketika menekan brek menyebabkan terperosok ke bawah lori sebelum digilis,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, mangsa yang parah di kepala akibat digilis meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu lori lelaki berusia 40-an dikatakan memecut kenderaan melarikan diri meninggalkan kelindannya berusia 20-an di tepi jalan.

“Sehubungan itu, polis sedang mengesan pemandu berkenaan dan dalam masa sama kelindan terbabit membuat laporan polis sebagai saksi kemalangan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat sebelum diserahkan keluarga di Taman Bukit Beruang Indah, Melaka untuk dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 6:14 PM