Suraya Roslan

NILAI: Naik tongkang selama dua hari dari Basilan dan ditawarkan kad pengenalan biru dengan harga RM200.

Itu pendedahan diceritakan seorang remaja berusia 16 tahun dari Filipina selepas ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam Operasi Terancang di kawasan rumah pangsa kos rendah di Nilai Perdana di sini, semalam.

Remaja itu yang dikesan mempunyai MyKad seorang lelaki lain berusia 23 tahun dari Batu Sapi, Sabah itu mengaku ditawarkan MyKad oleh seorang ejen di Sabah sebaik tiba di negeri itu, setahun lalu.

Dakwanya, dia terpaksa datang ke Malaysia seorang diri untuk mencari wang demi membiayai pengajian kakaknya di sebuah kolej di Basilan.

“Saya datang naik kapal laut (tongkang) bersama lebih 150 orang lagi rakyat Filipina lain, sebaik tiba di Sabah dipercayai Sandakan, kami terus disapa seorang lelaki dipercayai ejen menawarkan MyKad biru.

“Pada mulanya saya takut namun diyakinkan lelaki itu jika mahu bekerja di Malaysia perlu ada MyKad yang ditawarkan harga RM200 hingga RM500,” katanya sebaik ditemubual selepas ditahan anggota penguat kuasa JPN, semalam.

Dalam operasi selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu seramai 136 penguat kuasa JPN, Jabatan Imigresen Malaysia dan Pasukan Gerakan Am (PGA) diketuai Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah menyerbu lapan blok bangunan berkenaan.

Dalam serbuan di rumah remaja itu jam 2.30 pagi, penguat kuasa JPN terpaksa memecahkan pintu depan berikutan mereka enggan membuka pintu.

Sebaik dibuka, terdapat tiga lelaki termasuk remaja berkenaan bersama seorang wanita warga Filipina mengakui tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, hasil geledah di rumah berkenaan mendapati pelbagai MyKad serta dokumen dan sijil kelahiran yang disembunyikan termasuk satu MyKad disembunyikan dalam lipatan surah Yasin.

Sebaik disoal siasat, remaja berkenaan mengakui MyKad itu diberikan ejen untuk dibeli dengan harga RM200 sebaik tiba di negara ini.

“Saya masih tidak membuat sebarang keputusan untuk membeli MyKad ini. Ejen dipercayai orang tempatan minta saya pakai dulu...Dah ada duit baru saya bayar,” dakwanya.

Katanya, dia menggunakan MyKad itu dan berjaya memperoleh kerja di sebuah kilang di Nilai walaupun gambar di MyKad itu tidak sama dengan mukanya.

Dua lagi rakan remaja itu berusia 20-an bagaimanapun enggan mengakui MyKad berkenaan milik mereka walaupun tertera wajah mereka.

Sementara itu, Mohammad Razin berkata, seramai 18 individu berusia 16 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi itu kerana menggunakan MyKad palsu manakala sembilan warga Indonesia ditangkap bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen diri.

“Kebanyakan ditahan adalah warga Filipina yang menggunakan MyKad palsu dipercayai dibeli daripada ejen yang sebahagian besar di Sabah.

“Mereka dipercayai mengambil penerbangan dari Sabah terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk bekerja di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya setiap MyKad yang dibeli berharga sekitar RM300 hingga RM500 daripada ejen bertujuan untuk bekerja di Malaysia.

“Kita percaya semua MyKad yang digunakan adalah palsu dan bukan dikeluarkan JPN berdasarkan ciri keselamatan dan fizikal malah tiada dalam sistem kami.

“Semua kes disiasat mengikut Perkara 25(1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu memiliki kad pengenalan palsu atau milik orang lain,” katanya.

Mohammad Razin berkata, operasi itu bertujuan membanteras penyalahgunaan MyKad dan juga palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 8:06 AM
ANTARA warga asing yang diperiksa JPN dalam Operasi Terancang di Nilai Perdana, semalam.