SITI kini miliki 5.9 juta pengikut di Instagram. FOTO Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini menjadi individu yang memiliki jumlah pengikut atau ‘followers’ Instagram terbanyak di Malaysia iaitu hampir 6 juta.

Setakat ini, pengikut Instagram @ctdk berjumlah 5,984,150 sekali gus berjaya mengatasi rekod yang dipegang pengacara Neelofa sebanyak 5,977,561.

Siti berkata, dia tidak pernah terfikir untuk mempunyai pengikut tertinggi sebaliknya akaun Instagram dibuat bagi memudahkan komunikasi antara dia dengan peminat.

“Ketika membuak akaun Instagram, apa yang difikirkan adalah untuk mengikut perkembangan teknologi dan memudahkan komunikasi antara saya dengan peminat serta mempromosikan produk atau perniagaan saya.

“Tidak terfikir untuk mempunyai pengikut tertinggi. Namun, saya bersyukur jika Instagram ini memberi manfaat kepada saya mahupun pengikut," katanya.

Selain Neelofa, pelakon Nora Danish menjadi individu ketiga dengan jumlah pengikut Instagram terbanyak iaitu 5,768,373, manakala pelakon dan pelawak Zizan Razak menduduki tempat keempat sebanyak 5,604,397 pengikut.

Siti berkata, dia berharap penggunaan media sosial yang semakin menjadi pilihan utama setiap individu digunakan dengan sebaik mungkin.

“Selain memuat naik cerita atau gambar peribadi saya, Instagram juga mendekatkan saya dengan pengikut, peminat, pengguna produk dan pelanggan perniagaan saya.

“Perkembangan teknologi hari ini sangat pantas dan saya tidak mahu ketinggalan asalkan ia digunakan dengan baik dan jangan disalahguna," katanya.

Siti kini berada di Jakarta, Indonesia bagi mempromosikan konsert jelajah Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live On Tour yang bakal diadakan di negara itu pada 21 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:24 PM