PENYANYI, Siti Sarah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

SELEPAS beralih status dan memiliki cahaya mata, nama penyanyi popular Siti Sarah Raisuddin, 35, kian sepi.

Tujuh tahun berehat, Sarah kembali mengubat kerinduan peminat dengan bergelar naib juara program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada 2016.

Rezeki akhirnya menyebelahi Sarah apabila single terbarunya Semakin menjadi kegilaan peminat sekali gus menaikkan semula namanya dalam industri seni tanah air tahun lalu.

Secara peribadi, Sarah mengakui sangat bersyukur dengan

apa yang dikecapinya ketika ini.

Menurut Sarah, dia menyepi sebelum ini bukan kerana hilang minat terhadap bidang nyanyian sebaliknya diuji dengan kehilangan suara selama beberapa tahun.

"Saya pernah

terfikir kerjaya nyanyian akan berakhir kerana suara mula hilang selepas melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni dan semakin teruk dengan kelahiran anak kedua, Dzahira Talita Zahra secara pembedahan.

"Saya hanya sekadar boleh menyanyi tetapi tidak boleh mencapai nota tinggi dan rendah," katanya.

Sarah mengakui pernah berasa rendah diri dan tertekan sepanjang tiga tahun berdepan ujian kehilangan suara itu.

“Saya sedar tidak memiliki paras rupa yang cantik untuk dipertaruhkan dalam bidang nyanyian sebaliknya hanya mampu menarik peminat menerusi kelebihan suara.

“Sejak kecil, orang mahu berkawan dengan saya kerana kerana bakat nyanyian yang dianugerahkan Allah SWT.

“Kehilangan suara memberikan kesan cukup mendalam malah saya hanya menangis mengenangkan nasib diri ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan dan Saat Hilang Cintamu itu, dia berusaha mendapatkan kembali suaranya semula selepas melahirkan anak ketiga, Ariq Matin pada penghujung 2015.

“Sebenarnya, suara belum pulih sepenuhnya ketika menyertai GV3. Bagi mengembalikan semula prestasi vokal, saya mempelajari teknik vokal yang betul dengan penyanyi terkenal serta guru vokal, Ernie Zakri hampir setahun dan akhirnya, suara kembali semula,” katanya.

Perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Ternyata, pertaruhan Sarah menerusi single Semakin mengembalikan semula namanya dalam bidang nyanyian.

Malah, video muzik Semakin yang juga sentuhan suaminya, Shuib Sepahtu dan menampilkan pelakon popular Syafiq Kyle mencatat 1.5 juta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu.

Tuah terus menyebelahi Sarah apabila lagu itu berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang akan berlangsung Ahad ini (3 Februari).

“Alhamdulillah, saya sudah menanti selama 17 tahun untuk beraksi di pentas berprestij AJL33. Kali ini, rezeki untuk saya menyanyikan lagu ciptaan suami.

“Lagu Semakin ini mendatar tetapi notanya tepat dan lurus. Roh lagu ini bersatu dengan karakter serta memerlukan jiwa yang mendalam untuk menyanyikannya.

“Tiada sebarang gimik kerana saya hanya mahu memberikan fokus pada nyanyian di pentas akhir nanti. Begitu juga soal kalah atau menang, saya hanya buat yang terbaik dan selebihnya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Teruja Konsert Soul Sisters

SELEPAS beraksi di pentas AJL33, fokus Sarah beralih kepada Konsert Soul Sisters anjuran Edd Razhe Entertainment yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April depan.

Apa yang memberangsangkan, Sarah bakal berkongsi pentas dengan dua penyanyi yang memiliki vokal hebat iaitu Misha Omar dan Noryn Aziz.

“Setakat ini persediaan giat dijalankan. Saya sudah memilih 10 lagu untuk didendangkan pada konsert berkenaan. Namun, senarai akhir lagu akan diputuskan penerbit konsert, Edd Razhe nanti.

“Secara peribadi, saya menyukai lagu yang kurang berentak R&B tetapi boleh dinyanyikan secara soul. Saya juga terfikir untuk memilih lagu bergenre rock untuk disuntik muzik soul,” katanya.

Ditanya dari segi tarikan pula, kata Sarah, banyak kelainan yang akan ditampilkan pada konsert itu nanti.

“Bukan saja menyanyi lagu secara solo, saya juga akan menyampaikan lagu secara duet dan trio bersama Misha dan Noryn.

“Saya akui bukan mudah untuk menjayakan konsert kerana ia membabitkan persediaan berbulan lamanya kerana rangkaian lagu dinyanyikan juga bukan lagu sendiri.

“Bagaimanapun, saya menjanjikan yang terbaik dan tidak akan menghampakan peminat. Pada masa sama, saya juga percaya Konsert Soul Sisters bakal menjadi jenama mega apabila menjelajah beberapa lokasi dalam dan luar negara tahun ini,” katanya.

Selain Syafinaz, konsert itu turut menampilkan bekas Penerbit Eksekutif Warner Music Malaysia, Datuk Nasser Abu

Kassim selaku pengarah muzik.

Tiket konsert boleh didapati melalui www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond) , RM355 (Platinum) , RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 6:01 AM