UTAMAKAN keseronokan dalam melakonkan watak. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


DI sebalik kesibukan menjalani penggambaran drama Nur 2, pelakon Azhan Rani sebenarnya ada impian untuk produk itu.

Biarpun dirinya boleh dilabel sebagai pelakon berkaliber, jauh di sudut hati, Azhan kurang selesa terbabit dalam drama sekuel.

Pun begitu, menyedari betapa istimewanya drama Nur disiarkan TV3 pada tahun lalu dengan impak besar diterima, Azhan akur.

Justeru, sukar baginya membelakangkan sokongan dan kepercayaan penonton termasuk pengarah untuk terus melakonkan watak Ustaz Syed Hamadi.

Ditanya impian sebenarnya, Azhan, 43, tanpa berselindung memberitahu dia mengharapkan produk Nur itu dihidupkan di pentas teater.

“Saya tahu penerimaan penonton terhadap drama Nur sangat baik tetapi mana tahu ada peluang untuk dipentaskan pula.

“Ini kerana saya melihat Nur sebagai naskhah yang sangat menarik untuk diketengahkan di pentas teater.” katanya.

Sekadar berkongsi harapan, Azhan menjelaskan dia sedia maklum kos pementasan teater bukannya murah.

Mengulas lanjut watak Ustaz Syed Hamadi yang akan bersaing dengan karakter antagonis baru, Juita dalam Nur 2, Azhan melihatnya secara positif.

AZHAN berfikiran positif watak Ustaz Syed Hamadi ada saingan. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Ujarnya, dia tidak pernah merasakan watak Ustaz Syed Hamadi akan tergugat dengan kehadiran Juita yang seksi dan menggoda lakonan Azar Azmi.

“Sepanjang membintangi drama Nur musim pertama lalu, saya tidak pernah merasakan watak Ustaz Syed Hamadi akan bersaing dengan karakter lain.

“Terus terang, saya seorang yang selesa mengutamakan keseronokan melakonkan watak berpandukan kepercayaan diberikan pengarah.

“Memang tak pernah terdetik pun soal tergugat atau bersaing dengan mana-mana watak lain dalam setiap drama yang saya bintangi,” katanya.

Menurut Azhan, semua watak yang ditampilkan dalam Nur 2 mempunyai kekuatan dan jalan cerita tersendiri.

Mengulas watak Juita, Azhan berkata, sudah pasti ada alasan kukuh mengapa penulis skrip dan pengarah mewujudkan karakter sebegitu.

“Saya percaya Shahrulezad sudah fikir semasak-masaknya dan bukan suka-suka menjadikan watak Juita seksi menggoda,” katanya.

Drama Nur 2 diarahkan Shahrulezad Mohameddin turut dibintangi Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 6:00 AM