Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PADA era kegemilangannya selaku pemain bola sepak profesional sekitar 90-an, beliau mampu meraih pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan dan menjalani kehidupan serba mewah.

Selepas 20 tahun berlalu, kehidupannya berubah 180 darjah dengan menjalani kehidupan gelandangan.

Itu nasib dilalui Anuar Arifin, 50, apabila bekas pemain Johor FA ini yang pernah menjulang Piala Malaysia dan Liga Perdana bersama skuad itu pada 1991, kini hanya mampu menjadikan keretanya tempat berteduh selepas tidak mampu menyewa rumah.

Segalanya bermula kira-kira lima tahun lalu selepas anak kelahiran Kemaman itu kehilangan ibu bapanya sebelum dihalau daripada rumah sewanya disebabkan tidak mampu melunaskan bayaran bulanan sewa rumah.

Ketika ditemui di Chendor, Kuantan, Anuar menceritakan kesukaran yang dilaluinya apabila tidak mempunyai pendapatan tetap selepas bersara daripada bermain bola sepak pada 1997.

“Lepas bersara main bola, saya ada berniaga jual ikan tapi berapa sangat pendapatan yang saya dapat. Ketika masih bermain, kehidupan saya mewah kerana menerima gaji yang besar.

“Namun, kesilapan saya tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik ketika itu menyebabkan kini menjadi gelandangan dan hidup tidak terurus,” katanya.

Bapa kepada dua anak ini memberitahu, dia mula menjadikan kereta Proton Wiranya sebagai rumah sejak lima tahun lalu selepas tidak lagi mempunyai tempat tinggal.

Katanya, segala kelengkapan harian seperti pakaian akan digantung di dalam kereta dan menjadikan tandas awam sebagai bilik mandinya.

“Bila malam, saya akan bawa kereta di kawasan bawah jambatan atau kawasan parkir kereta untuk tidur. Duit harap ihsan kawan-kawan yang nak bagi,” katanya.

Anuar yang pernah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada 1992, mengakui kegagalannya menyempurnakan tanggung jawab sebagai suami dan bapa menyebabkan rumah tangga yang dibina berakhir dengan perceraian pada 2012.

“Dua anak lelaki saya berusia 15 dan 17 tahun kini dijaga saudara dan mereka juga tidak bersekolah,” katanya.

Anuar yang memulakan kerjaya bola sepak bersama skuad Piala Presiden Terengganu pada 1985 berkata, faktor kecederaan kaki kanannya pada 1995 memaksa beliau bersara awal.

Katanya, kecederaan yang ‘menghantuinya’ itu menyebabkan dia tidak dapat bermain dengan cergas dan sering disisihkan pasukan sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 1997.

Beliau yang pernah menyarung jersi skuad Pahang, Terengganu, Sarawak dan Melaka selain mengecapi kejayaan manis bersama Johor FA pada 1991 memaklumkan, kini melakukan kerja sambilan dengan pendapatan harian yang tidak sampai RM30.

“Saya kerja tolong-tolong kawan di premis snuker, boleh untuk tampung duit makan harian selain kawan turut bantu hulurkan duit jika tahu saya tiada wang,” katanya.

Bekas pemain tengah itu mempunyai harapan besar sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantu bekas pemain bola sepak yang kini hidup dalam keadaan daif sepertinya dengan mewujudkan pelbagai peluang menerusi pengalaman yang dimiliki mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:07 PM
BEKAS pemain bola sepak Anuar Arifin 50, kini gelandangan selepas lima tahun tinggal didalam keretanya ketika ditemui di Chendor. FOTO Farizul Hafiz Awang