Yusmizal Dolah Aling

Mencari yang halal adalah fardu bagi setiap umat Islam dan semua aspek kehidupan menitikberatkan persoalan itu berputik daripada bermulanya sesuatu proses sehingga sampai kepada pengguna akhir tidak kira makanan atau produk.

Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diterajui Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan semua elemen berkaitan dipatuhi sama ada oleh individu mahupun pemain industri di Malaysia.

Wartawan Yusmizal Dolah Aling mendapatkan beliau untuk mengupas isu berkaitan halal di Malaysia, persepsi pengguna serta inisiatif bahagian itu untuk menangani isu halal secara menyeluruh seperti dikongsikannya di dalam Kafe Ahad minggu ini.

DR Sirajuddin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
DR Sirajuddin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Sebenarnya apakah fungsi Bahagian Hab Halal yang perlu diketahui umum?

Sebenarnya 1 Disember 2018 menjadi satu titik tolak perubahan dalam hab halal dengan penstrukturan semula dilaksanakan di JAKIM secara keseluruhan dan melibatkan juga bahagian hab halal di mana kita mewujudkan dua bahagian yang berasingan.

Diwujudkan satu Majlis Halal Malaysia dan satu lagi Bahagian Pengurusan halal yang bertanggungjawab untuk operasi pensijilan halal manakala sekretariat majlis halal Malaysia akan fokus perkara berkaitan dasar, polisi dan sebagainya.

Jadi tanggungjawab itu dahulunya dilihat hanya untuk sijil namun sebenarnya untuk memastikan agar hasrat negara untuk terus meneraju halal peringkat global bukan saja pensijilan, ia melibatkan juga beberapa usaha lain - polisi, pembangunan standard dan sebagainya, kita perkemaskan dan kita meluaskan lagi perkhidmatan kepada pihak industri.

Kalau industri nak mohon sijil halal, pastinya dia perlukan bimbingan kerana industri yang kita nak pastikan integriti halal itu terjamin. Sekarang ini kita ketengahkan apa yang kita namakan sebagai halal built-in ertinya pihak industri bangunkan program halal di dalam industri, memperakukan bahawa produk itu halal serta disahkan oleh JAKIM.

Kalau dahulu, industri beritahu bahawa dia nak buat produk, dia beritahu JAKIM dan kita memeriksa dan memastikan bahawa apa yang dia nak keluarkan itu ialah produk yang halal.

Sekarang ini keadaan agak berbeza di mana kita minta tanggungjawab industri itu lebih tinggi, ertinya kita mewajibkan setiap industri mempunyai halal eksekutif dalam industri SME.

Bagi syarikat multinasional pula, dia wajib ada jawatankuasa halal, ada eksekutif halal, mereka bertanggungjawab agar apa yang diisytiharkan oleh industri dilaksanakan.

Semualah, soal ramuan dan sebagainya sehinggalah produk itu keluar di pasaran. JAKIM mengesahkan, ertinya pendekatan yang kita buat hari ini berbeza dengan sepuluh tahun dahulu.

Kalau dahulu kita memeriksa untuk cari salah, kita nak sahkan apa yang diisytiharkan itu benar dan sekiranya mereka menghadapi masalah, kita bantu, bimbing agar produk yang dikeluarkan ini adalah halal dan terjamin kesuciannya, kebersihannya dari segi kualiti dan juga keselamatannya. Jadi itu pendekatan yang kita buat hari ini.

Kerana itu kita perlukan dua bahagian yang besar iaitu pengurusan halal yang akan fokus permohonan sijil, semua maklumat dan pengauditan. Majlis Halal Malaysia umumnya kita akan fokus pembangunan kapasiti bukan saja dalam industri, malah menyediakan individu atau lepasan universiti untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan yang ada hari ini.

Berdasarkan rekod, apakah antara bentuk perlanggaran yang paling kerap dilakukan baik oleh individu mahupun syarikat?

Secara umumnya dari segi pengalaman saya, kita ambil tahun 2000 ataupun sejak awal pensijilan halal secara komprehensif bersama dengan negeri. Terdapat dua kategori kesalahan. Satu sama ada dia kesalahan besar atau pun kecil. Kesalahan besar ialah yang berisiko tinggi, perkara yang memang tak boleh dimaafkan. Ini jarang-jarang berlaku, kalau ada pun mungkin setahun saya rasa kurang dari sepuluhlah yang besar.

Selalunya banyak kesalahan kecil contohnya yang boleh melibatkan jaminan kebersihan makanan itu tidak terjamin. Itu memang sering berlaku khususnya bukan saja premis makanan seperti restoran dan sebagainya, malah juga di tempat mengeluarkan produk.

Ada yang kata Bahagian Hab Halal JAKIM ini hanya timbul bila ada isu halal dan hilang selepas itu. Ada yang kata tak buat kerja sangat. Boleh komen?

Memang, saya akui perkara itu. Masyarakat atau rata-rata orang akan menyedari sesuatu perkhidmatan itu diberikan apabila mereka menghadapi masalah.

Dalam erti kata lain, pepatah Melayulah, sudah terhantuk baru terngadah, bila dah rasa halal ke tak, baru tanya ini siapa punya kerja.

Baru sedari bahawa wujudnya di JAKIM ini bahagian hab halal. Sebelum ini tak pernah tahu pun. Dulu sebut saja JAKIM, institusi agama, orang sedar tangkap khalwatlah. Orang tak nampak benda lain yang dilaksanakan.

Nak komen dari aspek itu juga. Memang hari ini sering kali masyarakat menyebarkan orang kata bahasa Melayu tularlah atau lebih popular viral. Dan viral ini menunjukkan kesedaran masyarakat sebenarnya.

Saya melihat tular itu daripada dua aspek yang berbeza. Dari aspek negatifnya pun ada, dari aspek positifnya pun ada. Sering kali saya ditanya apa dah jadi dengan JAKIM, viral semakin lama semakin banyak. Saya kata ya?

Alhamdulillah saya kata. Bila viral ini tersebar ertinya salah satu usaha yang dibuat oleh JAKIM dah berjaya. Kita tahu hari ini pensijilan JAKIM ini dah berjaya. Kita tak boleh paksa mana-mana syarikat mohon sijil halal. Yang penting ialah kesedaran masyarakat. Apabila masyarakat sedar kepentingan sijil halal, mereka akan memilih produk yang dipersijilkan halal saja yang akan dibeli.

Bagaimana kecanggihan teknologi dapat membantu masyarakat berhubung isu halal?

Menepati hasrat Malaysia Baharu dengan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan JAKIM juga, dulu di bawah Tan Sri Othman Mustapha, sekarang Datuk Mohd Nordin Ibrahim, slogan adalah Menyantuni Ummah menyebarkan Risalah.

Kalau berdasarkan YB Menteri, Rahmatan Lil Alamin. Kita menyedari melaksanakan perkhidmatan yang ada hari ini demi untuk masyarakat atau secara umumnya apa yang kita buat hari ini untuk ummah.

Untuk itu, berdasarkan kepentingan masyarakat, pastinya masyarakat nak tahu walaupun produk itu ada nampak logo halal, ye ke? Mungkin dia kata entah-entah ada orang cetak saja, tak ada sijil. Jadi kita menyediakan beberapa aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun. Hari ini saya boleh kata 99 peratuslah yang mempunyai telefon pintar. Ada orang yang memang tak mahu berkawan dengan gajet, dengan telefon pintar.

Boleh muat turun ada dua aplikasi yang kita bangunkan bersama rakan strategik kita iaitu Smart Halal dan satu lagi Verify Halal. Kedua-dua aplikasi ini boleh dimuat turun dan diguna pakai. Ia dihubungkan terus dengan pangkalan data di JAKIM berkaitan dengan pensijilan halal. Kalau hari ni dia tamat, dalam aplikasi pun tamat. Kalau hari ni dia dapat sijil, dalam aplikasi pun dah ada sijil. Jadi itu untuk memudahkan pengguna, memang data sebenar dan pada masa sebenar.

Bagaimana Datuk melihat isu restoran makanan Muslim tidak halal seperti yang heboh diperkatakan baru-baru ini?

Dia ada beberapa isu yang kita kenal pasti yang sejak dahulu dah berlaku, mungkin dia ingat kita ini kurang cerdik ataupun masyarakat kurang prihatin. Dia guna sijil orang lain, dia tukar alamat, dia pamerkan sijil itu sedangkan di sijil halal yang kita keluarkan, dia ada kod QR dan masyarakat boleh menyemak dengan mengimbas kod tersebut untuk mengetahui sama ada benar sijil ini milik restoran tersebut.

Jadi bila menyedari hakikat itu, ketidakakuran itu dah kuranglah. Orang pakai sijil orang tukar alamat, malah bagi kami penguat kuasa ataupun juruaudit kami, saya sendiri pun, kalau tunjuk satu sijil, kita hari-hari tengok sijil, jadi kita tahu sijil itu benar atau palsu, jenis tulisan pun dapat kita kenal pasti.

Itu antara perkara yang berlaku di luar sana. Akhir-akhir ini diketengahkan berkaitan restoran yang mengelirukan pengguna. Dia bukan pemilik sijil halal tapi dia tunjukkan macam dia keluarkan produk halal. Contoh dia menggunakan perlambangan bahawa dia itu orang Islam. Ini menjadi kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan Penandaan halal dan boleh diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ada pemilik bukan Islam guna perlambangan Islam. Jadi bagaimana pula dengan keadaan itu?

Kita menghormati bahawa di Malaysia ini bukan semua orang Islam dan Melayu, malah penggiat industri adalah lebih ramai daripada mereka yang bukan Islam. Mereka adalah pengeluar produk, mereka sanggup untuk akur dengan prosedur yang kita tetapkan.

Walaupun begitu, kita tetap mensyaratkan agar ada eksekutif halal di syarikat itu kerana kita yakin dan percaya sebagai orang Islam, kita ada dua tanggungjawab, jawab hari ini di dunia dan akhirat. Kerana itu kita wajibkan ada eksekutif halal di syarikat dan dia inilah menjadi mata dan telinga, dia akan memastikan semua program halal di syarikat terlaksana. Itu antara garis panduan dan jaminan yang diketengahkan oleh JAKIM bagi memastikan industri dapat melaksanakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 7:02 AM