BOOKIE sentiasa mencari peluang untuk menghampiri pemain yang berdepan masalah gaji. FOTO Syamsi Suhaimi & Zulfadhli Zulkifli.
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Mereka (bookie) tahu kami tak ada duit, sebab itu mereka tawarkan RM5,000 kepada saya dan kawan-kawan bagi mengatur keputusan perlawanan.”

Itu pengakuan seorang bekas pemain yang sebelum ini beraksi di Liga Perdana ketika mendedahkan dia pernah didekati bookie selepas mengetahui kemelut tunggakan gaji yang dialami pasukannya.

Dia yang hampir sedekad berkecimpung dalam arena bola sepak tempatan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya yang ‘dicintainya’ itu selepas serik menjadi mangsa bekas majikannya yang tidak membayar sesen pun gajinya musim lalu.

Katanya, bookie sentiasa memantau perkembangan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan cuba mencari peluang untuk ‘menyuap’ mana-mana pemain yang dilihat terdesak terutama kepada pasukan yang mengalami masalah gaji.

“Tak ada pemain yang suka-suka cari masalah (cari bookie), cuma kadang-kadang mereka pandai ambil kesempatan bila tahu pasukan ada masalah pembayaran gaji.

“Pengalaman saya bersama pasukan musim lalu, kami didekati bookie yang sanggup bagi berapa yang kami mahu asalkan kami kalah kepada pasukan lawan.

“Saya menolak dan minta individu itu supaya jangan ganggu kami lagi, tapi saya tak tahulah kalau kawan-kawan lain ada ambil. Perbuatan itu memang salah, tapi ketika pemain terdesak mahukan wang, mungkin ada yang sanggup menjual perlawanan,” katanya yang enggan didedahkan identitinya.

Jelasnya, melihat kepada senario Liga-M yang ketika ini panas berhubung masalah tunggakan gaji membabitkan beberapa pasukan Liga Super dan Perdana, sudah tentu kegiatan bookie turut bermaharajalela memburu pemain yang terdesak.

“Duduk pula di Lembah Klang yang kos sara hidupnya tinggi, ada keluarga, nak bayar rumah, nak bayar kereta dan macam-macam lagi. Kalau tak ada gaji macam mana nak hidup. Mungkin akan ada pemain yang sanggup gunakan ‘saluran kedua’ untuk dapatkan duit.

“Untuk elak perkara ini lebih kronik, saya rasa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kena tegas kepada semua pasukan lebih-lebih lagi mengenai kewangan.

“Kalau pasukan yang tak ada dana, tak payahlah benarkan mereka bermain dalam liga kerana pemain yang akan menjadi mangsa apabila tak dapat bayar gaji. Selepas itu mulalah timbul bookie yang menawarkan macam-macam kepada pemain,” katanya.

Liga-M yang membuka tirai minggu lalu dikejutkan dengan pendedahan demi pendedahan membabitkan tunggakan gaji beberapa pasukan seperti Terengganu City FC, FELDA United, PDRM, Pulau Pinang dan terkini, Perlis.

‘Risau terjebak bila terdesak’

Isu tunggakan gaji yang membelenggu beberapa pasukan di negara ini membuka ruang dan peluang kepada bookie untuk menawarkan sejumlah wang bagi mengatur perlawanan kepada pemain dan juga jurulatih hingga menyebabkan mereka mudah gelap mata.

Jika dilihat pada rekod, ada antara pemain seperti Kuantan FA yang tidak mendapat gaji hingga tempoh setahun, manakala PDRM pula tertunggak hingga enam bulan menyebabkan situasi menjual perlawanan boleh berlaku bila-bila masa.

Malah, bekas jurulatih Kuantan FA dan PDRM, Zulhamizan Zakaria mengaku pemain dan jurulatih berkemungkinan terdedah kepada kegiatan haram itu apabila dibelenggu masalah kewangan yang kronik.

“Saya tidak menafikan kemungkinan pemain atau jurulatih akan didekati bookie dan perkara itu boleh berlaku kerana masing-masing sudah tersepit berikutan tiada sumber pendapatan dengan perlu membayar ansuran kenderaan selain sewa rumah.

“Jika sudah tersepit dan didatangi pula individu yang menawarkan sejumlah wang bagi mengatur perlawanan, tidak mustahil mereka akan menerimanya,” katanya.


ZULHAMIZAN. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Zulhamizan berkata, walaupun setakat ini tiada laporan mengenai bookie mendekati pemain dan barisan jurulatih di bawah kendaliannya, namun perkara itu menjadi kebimbangan kerana ia boleh merencatkan perkembangan sukan negara.

“Saya sentiasa berhubung dengan badan integriti bagi membincangkan perkara ini bagi memastikan ia tidak merebak ke dalam pasukan, sekali gus boleh merosakkan mutu sukan nombor satu negara itu.

“Namun, jika situasi tunggakan gaji berterusan, pemain mungkin boleh termakan pujukan bookie supaya menjual perlawanan,” katanya.

Perlawanan Liga Malaysia 2019 baharu saja membuka tirai, namun kemelut membabitkan tunggakan gaji terus melanda pasukan Terengganu City FC, FELDA United, PDRM, Pulau Pinang dan terkini, Perlis.

Malah, tunggakan gaji dua bulan yang melanda skuad Perlis baru-baru ini menyebabkan pasukan berkenaan bagaikan dilanda ribut apabila terus menjadi isu hangat arena bola sepak negara.

PDRM, SPRM intip setiap pasukan

Jauhi bookie. Itu amaran yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa memantau perkembangan sukan nombor satu negara itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan bookie yang terbabit kegiatan mengatur perlawanan.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak menjalankan risikan dan siasatan jika mendapat maklumat ada bookie mendekati pemain bola sepak di negara ini.

“Kami akan bertindak berdasarkan maklumat yang diperoleh, malah turut mengikuti perkembangan bola sepak negara terutama pasukan yang dilanda masalah,” katanya ketika dihubungi.


ROHAIMI. FOTO Mikail Ong

Sementara itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memerangi kegiatan bookie dan rasuah.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera apabila mendapat aduan berkaitan mengatur perlawanan, tawaran wang tunai dan pemberian hadiah yang boleh menimbulkan keraguan.

“Malah, kami juga melakukan siasatan berkaitan penjualan tiket apabila mendapat laporan terdapat unsur penipuan atau rasuah.

“Setiap pasukan akan dipantau SPRM bagi memastikan kegiatan bookie dapat ditangani segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:06 AM