NORAISHAH memaklumkan mengenai kejadian rogol berlaku terhadap anak saudaranya kepada wartawan. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Hanya Allah SWT saja tahu betapa luluh hati seorang wanita apabila anak saudara yang dihantar ke sebuah pusat jagaan anak yatim dan asnaf di Danau Kota, Setapak, menjadi habuan nafsu serakah seorang penjaga pusat berkenaan.

Lelaki lingkungan 20-an itu dipercayai mengambil kesempatan terhadap anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya bagi memuaskan nafsu dengan merogol dan mencabul mangsa.

Bagaimanapun, perbuatan terkutuk lelaki yang juga suami kepada pemilik pusat terbabit terbongkar apabila seorang daripada penghuni mendedahkan perkara itu kepada ibu saudaranya.

Pendedahan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu turut membongkar perbuatan rogol dan cabul dilakukan terhadap tiga lagi penghuni lain di pusat jagaan terbabit.

Ibu saudara mangsa yang mahu dikenali Noraishah, 33, berkata dia dimaklumkan perbuatan rogol itu dilakukan lelaki terbabit ketika pergi ke pusat berkenaan jam 7.30 malam pada 3 Februari lalu.

“Pengakuan itu dibuat di depan saya, suami dan salah seorang penjaga perempuan pusat berkenaan yang juga kakak ipar kepada suspek.

“Manakala, suspek berada di rumah jagaan lain ketika itu dan pemiliknya iaitu isteri suspek pula sedang mengerjakan umrah ketika itu.

“Dia (anak saudara) memaklumkan sudah beberapa kali dirogol dan dicabul oleh suami kepada pemilik pusat jagaan itu. Kejadian pertama berlaku pada Jun 2018 dan berlarutan hingga Januari lalu.

“Anak saudara turut mendedahkan seorang lagi rakannya berusia 14 tahun turut menjadi mangsa rogol, manakala dua lagi mangsa, masing-masing berusia 13 dan 16 tahun dicabul termasuk seorang anak saudara suspek,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Cheras, semalam.

Noraishah berkata, kejadian berlaku berikutan empat mangsa terbabit tinggal bersama keluarga suspek di salah sebuah rumah di bawah jagaan lelaki terbabit.

Katanya, manakala penghuni lain ditempatkan di rumah jagaan berasingan yang turut dimiliki pemilik berkenaan.

Wanita itu berkata, susulan pengakuan anak saudaranya, dia mengambil keputusan membawa kanak-kanak berkenaan pulang dan melakukan pemeriksaan di Hospital Ampang, Khamis lalu.


PREMIS pusat jagaan didapati berkunci dan tidak berpenghuni susulan kejadian. FOTO NSTP

Agak mengejutkan, katanya, apabila hasil pemeriksaan dilakukan doktor mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan anak saudaranya.

“Doktor mengesahkan anak saudara disyaki menjadi mangsa rogol dan sehingga kini dia ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk rawatan dan dijaga oleh adik saya iaitu ibu kandungnya.

“Anak saudara tinggal di pusat jagaan itu sejak tiga tahun lalu dan ibunya berada di Perak. Jadi, saya bersama suami menguruskan hal anak saudara yang tinggal di pusat jagaan itu kerana dekat dengan kediaman kami.

“Saya dan suami memang perasan perubahannya yang kelihatan murung dan tidak ceria sejak pertengahan tahun lalu, tetapi tidak menyangka dia menjadi mangsa rogol.

“Malah, kami juga tidak menyangka lelaki berperwatakan baik dan alim itu sanggup melakukan perkara terkutuk terhadap kanak-kanak yang sepatutnya dilindunginya,” katanya.

Noraishah berkata, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Pondok Polis Hospital Ampang jam 5 petang Khamis lalu untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada mangsa lain turut membuat laporan polis atau sebaliknya.

“Kami difahamkan, polis sudah menahan lelaki terbabit di pusat jagaan berkenaan jam 1.30 pagi, semalam (kelmarin). Tangkapan itu dilakukan sehari selepas isterinya pulang daripada mengerjakan umrah. Pemilik pusat jagaan itu ada berhubung dengan adik saya seolah-olah mahu kami menarik balik laporan dan mencadangkan supaya anak saudara dinikahkan dengan suaminya.

“Bagaimanapun, kami tetap dengan pendirian dan berharap anak saudara mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di pusat jagaan berkenaan semalam mendapati premis terbabit berkunci dan tidak berpenghuni.

Malah, ada satu makluman dilekatkan di pintu pagar pusat jagaan berkenaan yang tertera perkataan ‘bercuti’ dan meminta orang ramai yang ingin berurusan supaya menghubungi nombor dinyatakan untuk pertanyaan lanjut.

Difahamkan, pusat jagaan berkenaan menempatkan lebih 20 anak yatim serta asnaf lelaki dan perempuan berusia antara satu dan 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek, kelmarin dan siasatan lanjut berhubung masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 10:01 AM