Kanak-kanak perempuan maut selepas rumahnya dilanggar Perodua Myvi di Kampung Merchong Bebar, Pekan. FOTO Ihsan PDRM
Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@nstp.com.my


KANAK-kanak perempuan maut selepas rumahnya dirempuh Perodua Myvi yang terbabas kira-kira 50 meter dari jalan raya di Kampung Merchong Bebar, Pekan hari ini.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, Nooreen Qistina Abdullah, 6, disahkan meninggal dunia dipercayai dihempap batu bata yang runtuh selepas dilanggar kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata siasatan mendapati kereta Perodua Myvi dipandu pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Izwan Zainudin,31, dari arah Kuantan ke Johor Bahru dikatakan mahu mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 58 Jalan Pekan-Rompin.

Katanya, ia menyebabkannya terbabas 50 meter lalu terlanggar rumah dihuni tiga individu termasuk mangsa serta ibunya, Norehan Abdul Rahman, 25, dan kanak-kanak perempuan berusia setahun, Nur Jannah Muhamad Hafizi.

“Akibat rempuhan kereta berkenaan, mereka dihempap batu bata rumah yang runtuh.

“Nooreen Qistina disahkan meninggal dunia di Klinik Nenasi, di sini, Nur Jannah pula mengalami luka di bahagian kepala manakala Norehan tiada mengalami kecederaan.

“Bedah siasat sedang dilakukan dan siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 10:54 PM