REMAJA  yang  menghuni Villa Raudhah belajar bersama.
REMAJA yang menghuni Villa Raudhah belajar bersama.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Mangsa cabul dan anak terbiar yang datang dari keluarga bermasalah ‘mencari perlindungan’ di sebuah rumah aktivis masyarakat di Kampung Pasir Pekan di sini, sejak Disember tahun lalu.

Kini 13 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 17 tahun yang dikategorikan sebagai anak terbiar menetap di rumah milik Faizah Qemerzaman, 51.

Faizah berkata, mereka pada awalnya hanya mahu menumpang berteduh, namun kini dianggap menetap terus di rumahnya.

“Remaja itu antara 300 anak jagaan saya yang kebanyakan berada di rumah masing-masing yang saya panggil sebagai anak prihatin yang diabaikan keluarga, golongan asnaf dan miskin. Pada mulanya rumah saya didatangi seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang ingin menetap di rumah saya.

“Dia anak yatim piatu sebelum ini tinggal bersama ibu saudara datang sehelai sepinggang, baju yang lusuh dan koyak enggan balik ke rumah atas sebab tertentu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Faizah berkata, sejak dari itu seorang demi seorang anak prihatin datang dan minta izin untuk menetap di rumahnya dan menyebabkan dia menamakan rumahnya sebagai Villa Raudhah.

Ketika ditanya adakah tindakan anak prihatin yang menumpang di rumahnya itu tidak dihalang keluarga mereka, Faizah berkata, dia pernah didatangi ahli keluarga remaja terbabit dan dimarahi namun atas rundingan kedua-dua belah pihak, kata persetujuan dapat dicapai.

Menurutnya, apa yang dilakukannya tidak mempunyai sebarang agenda peribadi sebaliknya mahu membantu sekadar termampu kerana mereka mangsa keadaan, malah ada antaranya hampir dicabul keluarga.

WAKIL dari Villa Raudhah menunjukkan tempat yang akan dibina bangunan untuk menempatkan  anak prihatin  ketika ditemui di Kampung Pasir Pekan.
WAKIL dari Villa Raudhah menunjukkan tempat yang akan dibina bangunan untuk menempatkan anak prihatin ketika ditemui di Kampung Pasir Pekan.

“Anak prihatin itu tidak semua menetap di Villa Raudhah secara langsung kerana ada dalam kalangan mereka tinggal di asrama sekolah dan kembali ke rumah perlindungan ketika cuti hujung minggu.

“Kehidupan mereka lebih tersusun apabila menunaikan solat berjemaah dan membaca surah Yasin setiap malam Jumaat manakala pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sebahagian daripada mereka dihantar ke sebuah pondok di Tumpat untuk mendalami ilmu agama.

“Saya merancang membina sebuah rumah berasingan di sebuah tanah yang diwakafkan tidak jauh dari rumah ini sekiranya ada dana bagi menempatkan semua anak prihatin,” katanya.

Faizah berkata, tidak timbul rasa beban atau sebarang kekangan di pihaknya walaupun perbelanjaan bertambah.

“Secara ringkasnya saya boleh andaikan bahawa Allah SWT memilih kami untuk membantu kanak-kanak dan remaja ini, maka segala perkara dianggap masalah itu sebenarnya dipermudahkan.

“Anak prihatin ini sentiasa ada rezeki kerana saya bergerak bersama tujuh rakan aktivis yang sama-sama menjaga dan memantau mereka. Ramai yang memberi sumbangan kerana kumpulan kami bergerak melalui media sosial, memaparkan segala perkembangan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 8:04 AM