JEMAAH tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran tukar minyak hitam percuma di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Inisiatif ini dilaksanakan dengan niat mengajak orang ramai datang ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah,” kata Pengasas Kindness Malaysia, Muhammad Kamarulazizi mengenai tawaran tukar minyak pelincir motosikal percuma yang diberikan kepada jemaah yang menunaikan solat Subuh di Masjid Amru Al-As, Bandar Baharu Sentul, baru-baru ini.

Beliau berkata, projek itu adalah kesinambungan daripada siri pertama yang diadakan Februari tahun lalu.

Katanya, tawaran berkenaan hanya diberikan kepada mereka yang menunaikan solat Subuh di masjid berkenaan dan pihaknya bersyukur kerana idea itu berjaya menarik kehadiran penduduk setempat.

“Sebelum adanya projek ini, rata-rata jemaah yang datang menunaikan solat di masjid adalah golongan berumur jadi keadaan itu mendorong saya melakukan sesuatu bagi menarik kehadiran anak muda.

“Memandangkan kebanyakan jemaah hadir menunggang motosikal, timbul idea untuk memberikan tawaran tukar minyak pelincir kepada mereka yang menunaikan solat subuh di Masjid Amru Al-As.

“Menariknya, pengumuman hanya dibuat pada hari pemberian minyak pelincir itu sebagai kejutan buat jemaah yang datang dan mereka layak menerimanya dengan syarat mereka menunaikan solat Subuh di masjid.

“Tahun lalu, 25 jemaah mendapat manfaat daripada projek berkenaan dan jumlah itu meningkat kepada 35 jemaah kali ini,” katanya.

Menurut Muhammad, meskipun projek berkenaan tidak menjadi aktiviti harian atau bulanan, dia puas kerana dapat melaksanakan inisiatif memberi manfaat kepada jemaah dan berterima kasih kepada pihak pengurusan masjid, penaja dan baitulmal atas sokongan diberikan.

“Kindness Malaysia ditubuhkan sejak 2013 dengan matlamat untuk mengajak masyarakat melakukan kebaikan dan pelbagai inisiatif dilaksanakan di 15 masjid dan sekolah di beberapa lokasi dalam negara sepanjang tempoh berkenaan.

“Tawaran tukar minyak pelincir percuma salah satu daripadanya selain projek selipar (pemberian selipar percuma kepada jemaah yang kehilangan selipar), minyak atar dan gerobok rezeki iaitu bantuan makanan percuma kepada jemaah memerlukan.

“Perancangan kita seterusnya adalah menganjurkan lagi acara ‘Free Market’ sebelum Ramadan atau selewat-lewatnya selepas Aidilfitri dalam usaha untuk menghidupkan lagi masjid,” katanya.

Sementara itu, bilal rakyat Masjid Amru Al-As, Reza Iskandar Yazid, 41, berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kindness Malaysia dan sebarang inisiatif dilaksanakan dengan tujuan untuk mengimarahkan masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:45 AM