PENDUDUK Taman Pendamar Indah, di Pelabuhan Klang gempar apabila dikejutkan dengan penemuan berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda, di sini, semalam.

Difahamkan, berhala itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara 2.30 petang hingga 4.00 petang sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan.

Siak surau itu, Mohd Yatim Omar, 64, berkata, patung itu ditemui olehnya ketika mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci, pada 4.15 petang.

Beliau yang terkejut dengan penemuan itu kemudiannya memanggil ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah surau bagi melihat sendiri berhala terbabit.

“Ketika saya pulang selesai solat Zohor, semua dalam keadaan baik dan tiada berhala terbabit, namun apabila saya datang semula ke surau untuk persiapan solat Asar, ada berhala yang diletakkan di situ.

“Saya sangat terkejut dan tidak tahu apa motif atau siapa individu yang meletakkan berhala terbabit. Tambahan pula, surau ini tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Setahu saya, surau ini tidak pernah menerima aduan atau mempunyai masalah dengan mana-mana pihak selain kecurian tabung surau yang sudah berlaku hampir lebih sepuluh kali,” katanya ketika ditemui malam, semalam.

Beliau berkata, perkara ini sangat sensitif berikutan ia mencemarkan tempat ibadah bagi masyarakat yang beragama Islam.

“Kami kecewa dan terguris dengan kejadian seperti ini yang seolah-olah menghina agama Islam serta menggesa dalang di sebalik kejadian itu tampil meminta maaf.

“Pada mulanya kami tidak mahu menimbulkan kekecohan serta memperbesarkan perkara ini, namun kami tidak boleh berdiam diri lagi berikutan ia tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Mohd Yatim berkata, susulan penemuan tersebut, dia kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Pandamaran, Klang Selatan, di sini hari ini serta menyerahkan berhala itu bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, AJK surau itu, Abd Rahman Mohd Shariff, 46, berkata, dia amat terkejut apabila dimaklumkan dengan penemuan berhala terbabit.

“Memang timbul perasaan marah dan geram apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai dengan sengaja meletakkan berhala terbabit di bersebelahan pintu masuk ini.

“Ini adalah kejadian kali pertama dan saya kira ia sepatutnya tidak patut berlaku di rumah agama. Ia perkara yang sangat sensitif. Kami harap agar perkara ini disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:51 AM
AHLI Jawatankuasa (AJK) serta kariah menunjukkan patung berhala yang diletakkan di bersebelah pintu masuk utama Surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faliq Lajim