DR Nantha hadir sebagai saksi ke-12 bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, parah pada paru-parunya dipercayai disebabkan objek tumpul apabila dia menerima rawatan di Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Center, tahun lalu.

Doktor Bahagian Kecemasan di hospital berkenaan, Dr M Nantha, 39, berkata, beliau yang ketika itu bertugas di zon merah hospital berkenaan melihat Muhammad Adib diusung masuk ke dalam bilik rawatan kecemasan itu.

“Bagi pemerhatian saya ketika itu, pesakit (Muhammad Adib) dilihat sukar bernafas, tidak sedarkan diri dan mengeluarkan bunyi sukar difahami.

“Apabila diperiksa menunjukkan degupan jantung sekitar 145 per minit, tekanan darahnya adalah 85/46.

“Hasil pemeriksaan mendapati, paras oksigen Muhammad Adib di bawah 48 peratus sedangkan bacaan normal adalah di atas 95 peratus,” kata saksi ke-12 inkues ketika disoal Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah pada hari kelapan di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Ketika disoal mengenai pemakaian Adib ketika itu, Nantha menjawab ‘tidak memakai baju, tidak berkasut serta stoking’.

ZHAFRAN: Adakah kamu boleh berkomunikasi dengan pesakit (Muhammad Adib)?

DR NANTHA: Saya tidak dapat berkomunikasi dengan pesakit kerana dia hanya mengeluarkan bunyi sahaja selain tahap kesedarannya pada paras rendah.

ZHAFRAN: Jadi, ketika pemerhatian apa yang kamu buat?

DR NANTHA: Saya memeriksa pada muka dan leher pesakit, namun tiada tanda. Tetapi ada lebam pada bahagian atas dinding dada dan bahu, namun abdomennya normal.

ZHAFRAN: Kemudian, kamu buat apa?

DR NANTHA: Saya menghubungi doktor sinar-X, pakar bedah kardiostatik dan anestetik.

ZHAFRAN: Selepas itu kamu buat apa?

Dr NANTHA: Saya kemudian menyentuh dada kanan dia dan terdengar bunyi retak seperti kepatahan pneumotoraks (kegagalan paru-paru).

ZHAFRAN: Boleh kamu jelaskan apa itu pneumotoraks?

DR NANTHA: Pneumotoraks adalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga antara paru-paru dan dinding dada yang boleh menyebabkan paru-paru menjadi kecut.

Menurut Dr Nantha, berdasarkan ujian sinar-X mendapati, empat tulang rusuk kanan Muhammad Adib retak iaitu pada rusuk kedua, ketiga, keempat dan kelima.

ZHAFRAN: Apa pemerhatian kamu pada sinar-X itu?

DR NANTHA: Ada retakan pada kanan rusuk dan kecederaan paru-paru serta empat retakan rusuk.

ZHAFRAN: Punca kecederaan paru-paru?

DR NANTHA : Trauma.

ZHAFRAN: Kemudian, buat apa?

DR NANTHA: Dr Anand Sachitanandan (pakar kardiologi) membantu pesakit dan memutuskan untuk memasukkan tiub pada dadanya.

ZHAFRAN: Mengapa dipasang tiub dada itu?

DR NANTHA: Meningkatkan paras oksigen dan mengeluarkan udara daripada rongga pleural.

ZHAFRAN: Selepas rawatan intubasi itu, kamu perasan ada apa-apa perubatan pada dia?

DR NANTHA: Kami perasan terdapat bengkak pada abdomen, muka dan skrotum.

ZHAFRAN: Apa yang kamu suspek selepas diagnosis itu?

DR NANTHA: Kami rasa ada kebocoran udara di bawah kulit iaitu ‘Subtutanuaemphysema’.

Beliau berkata, kesan lebam pada lengan kiri Muhammad Adib disebabkan cengkaman dan lebih kepada kesan objek tumpul.

ZHAFRAN: Adakah sebarang kesan atau tanda pada badan Adib?

DR NANTA: Tiada kesan atau lebam.

ZHAFRAN: Apakah sebab kecederaannya terutama di bahagian atas kanan tangan?

DR NANTA: Saya percaya daripada trauma objek tumpul.

ZHAFRAN: Adakah ia disebabkan impak atau cengkaman?

DR NANTA: Pada pandangan saya, ia seperti impak.

Sementara itu, Dr Nanta memberitahu mahkamah, selepas sejam berada di bilik rawatan kecemasan itu, beliau keluar dan berjumpa dengan tiga lelaki India yang berada di luar bilik berkenaan untuk mengetahui apa yang berlaku terhadap Muhammad Adib.

“Tiga lelaki itu memaklumkan saya mereka tidak tahu apa yang berlaku terhadap Muhammad Adib dan mereka berkata sama ada terjatuh dari kenderaan atau dipukul,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 3:24 PM