Suhaimi (gambar kecil) meninggal dunia dalam kemalangan ngeri, hari ini. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin

“SAYA sedih dan kesal dengan tindakan netizen yang tularkan rakaman video arwah berlari menyelamatkan diri dalam keadaan terbakar.

“Masyarakat sepatutnya prihatin dengan perasaan keluarga arwah terutama isteri dan anak-anaknya,” kata Mohd Zafril Zulkifli, 35, rakan kepada seorang pemandu lori yang maut dalam kemalangan di Kilometer 372 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Slim River, hari ini.

Dalam kejadian itu, Suhaimi Khamis, 38, yang berasal dari Felda Mayam, Bera, Pahang meninggal dunia.

Mohd Zafril berkata, dia mengenali arwah selepas bekerja bersama sebagai pemandu lori tangki minyak, empat tahun lalu dan Suhaimi mempunyai isteri, Khatijah Abdul Karim, 35, yang kini mengandung anak keempat.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah Oktober lalu dan mereka sempat berbual serta makan bersama.

“Saya sangat sedih apabila melihat video rakaman arwah berlari menyelamatkan diri dalam keadaan terbakar, disebarkan di media sosial.

“Tak sepatutnya disebarkan kerana boleh menyinggung perasaan ahli keluarganya yang bersedih dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Slim River, hari ini.

Terdahulu, katanya, dia mengetahui kejadian menimpa arwah menerusi perkongsian di grup WhatApps dan singgah ke hospital itu memandangkan dia dalam perjalanan ke Ipoh.

“Arwah adalah anak kelima daripada lapan beradik dan dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan minyak dari Sungai Buloh, Selangor ke Lumut, Perak.

“Dia memang seorang yang mudah tersenyum dan mesra dengan rakan serta kami sering keluar makan bersama ketika bekerja di tempat sama dahulu,” katanya.

Sementara itu, rakan sekampung mangsa yang dikenali sebagai Aril, 30, berkata, dia rapat dengan arwah yang juga rakan sekolahnya ketika di Felda Mayam.

Katanya, arwah kini tinggal di Puchong, Selangor dan kami berharap orang ramai hentikan berkongsi dan tularkan video kejadian itu.

“Sebelum ini, dua abang arwah juga meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Bapanya sudah lama tiada, manakala ibu arwah pula sedang sakit,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Terbakar lepas rempuh lori rosak [METROTV]

[UPDATE] Kebakaran lori, seorang maut [METROTV]

Dua lori terbakar dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 4:13 PM