Terowong SMART yang turut membantu menyuraikan trafik. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor

KERAJAAN sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti, membabitkan empat lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, dengan kejayaan pengambilalihan itu kelak, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

Menurutnya, lebuh raya bertol berkenaan adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Sebagai ganti, ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

“Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam sehingga 5 pagi di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

“Hasil kutipan caj kesesakan akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

“Manakala, lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam yang kemudian akan digunakan untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” katanya.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan berjanji di dalam manifesto pilihan raya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara

berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

Ini sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:05 PM