FERI penumpang terbakar di perairan Langkawi. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH feri penumpang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis terbakar jam 2.50 petang hari ini selepas baru lima minit baru memulakan pelayarannya dari Terminal Feri Kuah,Pulau Langkawi.

Kebakaran berlaku di perairan Langkawi kira-kira tiga kilometer dari terminal feri berkenaan dan ia dipercayai bermula dari bahagian enjin yang terletak belakang feri berkenaan.

Seramai 52 orang penumpang yang berada dalam feri berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba serta bot persendirian yang berada di sekitar perairan itu.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata,, pihaknya menerima panggilan sekitar 2.48 petang sebelum tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

“Kebakaran berlaku dalam jarak tiga kilometer dari Terminal Feri Pulau Langkawi, Kuah dan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan BBP Langkawi sudah digerakkan bersama dua bot penyelamat.

“Selain itu juga, kita turut dibantu aset dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta bot nelayan yang berada di sekitar perairan berkenaan.

“Kerja pemadaman sedang giat dijalankan dengan mengarahkan anggota masuk ke dalam feri berkenaan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap,” katanya.

Berita lanjut menyusul

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 3:42 PM