MIRA Filzah
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Hampir enam tahun bergelar pelakon, Mira Filzah, 26, bersyukur rezekinya semakin murah mutakhir ini.

Walaupun perlu mengambil masa yang lama untuk dikenali, ia bukan masalah sebaliknya minat yang mendalam terhadap bidang seni perlu diteruskan dan berkat kesabaran, pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman ini gembira apabila kehadirannya semakin diterima masyarakat.

Mengakui namanya mula meniti di bibir peminat selepas membintangi drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan, Mira berkata, selain sokongan peminat, keserasian bersama hero gandingan juga memainkan peranan penting.

Malah dia tidak menyangka gandingan bersama Remy Ishak mendapat sambutan luar biasa, begitu juga dengan drama lakonan mereka, Pujaan Hati Kanda.

“Alhamdulillah, selepas membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan laluan kerjaya saya semakin mudah.

“Disebabkan kerjaya ini, saya turut diberi peluang menjadi duta produk dan mengacarakan program Nona.

“Terbaru saya turut dilantik sebagai duta payung terjun Malaysia selama setahun.

“Satu pencapaian yang

agak membanggakan malah hingga hujung tahun ini

jadual saya sudah penuh,” katanya.


MIRA Filzah pada sidang media perlantikannya sebagai Duta Persatuan Payung Terjun Malaysia. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Mengulas gandingan serasi dengan Remy, Mira tidak menolak jika digandingkan bersama lagi pada masa akan datang.

Baginya, jika gandingan itu mendapat sambutan bermakna peminat suka mereka bersama.

Malah, Mira memaklumkan pengikut setia drama Pujaan Hati Kanda sekali lagi boleh melihat gandingan lakonannya dan Remy pada Aidilfitri nanti.

“Buat masa ini kami belum berpeluang bekerjasama. Bagaimanapun, kami ada hadiah istimewa buat peminat iaitu telefilem Pujaan Hati Kanda Raya.

“Ada dua drama bersiri lakonan saya untuk tayangan di TV3 dan Astro tetapi belum tahu lagi siapa heronya.

“Saya akan memulakan penggambaran Pujaan

Hati Kanda Raya pada Ramadan ini dan selepas Aidilfitri saya akan sibuk di lokasi penggambaran sehinggalah hujung tahun ini,” katanya.


MIRA bakal terbang ke Perancis pada April ini bagi menyaksikan pertandingan payung terjun yang turut disertai MyPA.

Meski jadual kerjanya sangat padat, Mira bijak mengatur jadual masa agar segala urusan berjalan lancar.

“Setiap minggu saya sibuk dengan penggambaran Ariani dan Nona tetapi kedua-duanya sudah diatur lebih awal.

“Selepas ini jika saya ada penggambaran drama saya akan pastikan setiap hari dipenuhkan aktiviti penggambaran bersama Ariani atau Nona pada sebelah pagi dan drama bersiri sebelah malam begitu juga sebaliknya.

“Paling saya teruja jadual turut terisi dengan aktiviti bersama Persatuan Payung Terjun Malaysia (MyPA).

“Saya sudah lama meminati aktiviti payung terjun dan apabila diberi peluang serta menjadi duta,

ia rezeki berganda buat

saya.

“Saya berharap dengan pembabitan sebagai duta dapatlah buat terjunan

solo satu hari nanti,” katanya.

Anak jati Ipoh, Perak ini bakal terbang ke Perancis pada April ini bagi menyaksikan pertandingan payung terjun yang turut disertai MyPA.

Belum Masa Fikir Soal Kahwin

Baru berusia 26 tahun, anak kedua daripada tiga beradik ini belum terfikir menamatkan zaman bujang.

Baginya, jika tiba masa dia akan berkongsi dengan semua rakan media dan peminat tanpa perlu dipaksa.

“Saya belum berpunya. Tiada siapa-siapa di hati buat masa ini jadi macam mana saya hendak bercerita soal bertunang atau kahwin?

“Buat masa ini fokus saya memantapkan kerjaya seni. Jadual saya semakin padat, jadi tidak ada masa untuk fikir soal cinta.

“Insya-Allah jika tiba masanya saya akan beritahu kepada semua. Lagipun, saya bukan jenis yang suka mencari.

“Biarlah cinta dan jodoh itu datang sendiri,” katanya lagi.

Mira turut menegaskan tidak menjalin hubungan cinta dengan pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak.

“Orang ramai yang buat andaian kami bercinta. Hakikatnya, hati ini belum dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:00 AM