BELLA sudah tawar hati dengan Aliff dan reda saja apa yang berlaku selepas ini. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“SELEPAS apa yang dia buat dengan suami saya, begitu mudah permohonan maaf itu dikeluarkan,” kata Bella Astillah iaitu isteri kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz berhubung tindakan pelakon, Oktovia Manrose memuat naik permohonan maaf di Instagram (IG) Story semalam.

Bella, 25, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, wanita itu sepatutnya lebih sensitif kerana pernah berkahwin dan memiliki anak.

Bagaimanapun, Bella percaya wanita itu menjalin hubungan dengan suaminya sejak dua minggu lalu ketika berlakon bersama dalam telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya.

“Permohonan maaf itu ditulis di IG Story. Apa boleh dikatakan, saya tahu kesalahan mereka. Dan apa yang saya muat naik di IG semalam cukup kuat untuk mendedahkan perlakuan mereka di belakang saya.

“Macam Via (Oktovia), dia patut faham perasaan saya sebab pernah berkahwin dan ada anak.

“Saya ramai juga kawan perempuan yang bermasalah dengan suami, tapi tidak sampai tahap mahu berjumpa lelaki lain. Apa mereka buat adalah jumpa kawan perempuan dan kongsi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ada berjumpa dengan Aliff semalam bagi mendapatkan penjelasan mengenai bukti video yang dihantar kepadanya.

“Saya mahu berjumpa mereka berdua. Tetapi, Via menolak. Jadi, saya hanya jumpa Aliff. Pada mulanya, dia masih ingin menegakkan benang basah dan menafikan semua dakwaan saya.

“Namun, selepas saya menunjukkan bukti video itu, dia terdiam. Dia tidak tahu mahu cakap apa lagi selain minta maaf.

“Dia mengaku bersalah dan sedar perbuatannya itu salah,” katanya.

Ditanya adakah pertemuan itu turut membincangkan mengenai masa depan perkahwinan mereka, Bella berkata Aliff tidak bercakap mengenainya.

Bella berkata, tujuannya berjumpa Aliff disebabkan ingin menunjukkan bukti selepas dicabar suami dan dia pula bukan jenis yang main cakap saja.

“Soal perkahwinan kami, Aliff tidak cakap apa-apa pun. Macam saya sendiri, sejujurnya saya memang sudah tawar hati. Saya reda saja apa yang berlaku selepas ini.

“Saya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT. Saya hanya mampu berdoa dan diberikan petunjuk yang terbaik.

“Mungkin secara luaran saya nampak lemah, tetapi tidak. Malah, mereka silap jika beranggapan sedemikian. Apa yang berlaku ini, Tuhan nak tunjuk kepada saya. Saya kalau boleh tidak mahu hidup dalam penipuan, cukuplah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang lima tahun mengenali Aliff, dia bertahan disebabkan kedua ibu bapa dan adik-beradik suaminya terlalu baik.

Malah Bella berkata, dia juga tidak pasti sama ada masih ingin memberi peluang ketiga, keempat dan seterusnya kepada Aliff.

“Apabila melihat video ini, sebagai isteri tentu saja hati terluka dan sedih. Pedih rasanya apabila suami sekali lagi mengkhianati kepercayaan dan peluang diberikan.

“Malah, sebagai manusia biasa saya tidak boleh cakap boleh maafkan atau takkan maafkan. Perkara ini akan ambil masa. Apa saya boleh katakan, hanya mampu berdoa supaya diberikan yang terbaik.

“Saya anggap ini pengajaran terbesar dalam hidup dan perkahwinan kami. Saya berasa seperti ditikam belakang kerana baik dengan Via ketika dia mula berlakon dengan suami.

“Saya juga masih tidak boleh hadam ayat yang dihantar ketika ditanya adakah dia menjalin hubungan dengan suami,” katanya.

Bella juga bertegas tidak akan membuang status dan paparan skrin perbualan yang didakwa mendedahkan kecurangan suaminya di IG semalam.

“Saya takkan buang status itu. Saya berfikir banyak kali sebelum memuat naik. Saya tidak berasakan ia tindakan salah atau terburu-buru.

“Malah, saya masih berfikir dan sedang berbincang dengan keluarga sama ada mahu memuat naik bukti video di IG atau tidak,” katanya.

Berita berkaitan

'Aliff Aziz buat hal lagi - Bella Astillah'

'Tunggu keluarga, baru komen - Aliff Aziz'

'Oktovia mengaku salah keluar dengan Aliff Aziz'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 1:38 PM