Fairul Asmaini Mohd Pilus


“JIKA ada peluang, pergilah mengembara kerana ia bukan saja memberi pengalaman yang menakjubkan, malah dapat membuka mata dan minda kita mengenai banyak perkara dalam kehidupan.

“Selain itu, mengembara juga akan menjadikan kita lebih bersyukur dilahirkan di Malaysia dan memiliki kehidupan yang aman harmoni seperti hari ini,” kata Muhammad Amir Arsad.

Anak muda berusia 28 tahun itu sebelum ini memiliki kerjaya yang menjadi idaman ramai iaitu, seorang peguam namun demi menunaikan impian untuk mengembara ke seluruh dunia, dia sanggup berhenti kerja.

Muhammad Amir kini sedang dalam misi mengembara dengan berbasikal dari Manchester, United Kingdom bermula pada Januari tahun lalu untuk kembali ke tanah air.


PENDUDUK tempatan memberi sokongan kepada Muhammad Amir dan rakannya.

Sehingga 14 Februari lalu, pengembaraan anak muda ini bersama dua rakannya yang dikenali sebagai Azmeer, 29, dan Faizul, 27, sudah berbasikal hampir 8,000 kilometer (KM) dan kini melewati bandar Almaty, Kazakhstan.

Muhammad Amir yang juga graduan Ijazah Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, mengembara dengan berbasikal mungkin kedengaran tidak masuk akal terutama bagi mereka yang sudah selesa dengan kehidupan harian.

Namun, bagi anak muda yang gemarkan cabaran sepertinya, mengembara dengan menggunakan basikal adalah satu perkara baharu yang perlu dicuba sebelum menginjak usia emas.

Mengulas mengenai pertemuan dengan dua rakannya itu, Muhammad Amir berkata, sebelum memulakan misi itu, mereka bertiga masing-masing mengembara secara solo ala backpackers di negara eropah dan tidak mengenali antara satu sama lain.

“Namun, menerusi Facebook, kami bertiga ditakdirkan berkenalan sebelum tercetusnya idea untuk berbasikal kembali ke tanah air.


ANTARA laluan berbahaya yang perlu dilalui.

“Dengan bajet yang terhad, kami membeli basikal terpakai dan memulakan kayuhan kembali ke tanah air,” katanya ketika kepada Harian Metro.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor, itu berkata, banyak pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang lebih setahun mengembara di bumi asing.

Katanya, dalam banyak negara yang sudah disinggahi, Turki, Iran, Albania, Uzbekistan dan Kazakhstan negara paling digemari kerana rakyat di sana bukan saja mesra pelancong malah peramah serta suka membantu.

“Antara pengalaman manis kami sewaktu melalui Tetovo, Macedonia di mana kami bertemu dengan sekumpulan Muslim Albania yang menetap di kawasan terbabit.


MUHAMMAD Amir berkelulusan perundangan dari UUM.

“Mereka melayan kami dengan begitu mesra serta dijamu makanan tanpa henti, selain itu mereka juga membantu servis basikal kami dan memberi alat ganti secara percuma.

“Di sepanjang perjalanan di Kazakhstan pula, kami sering dipelawa penduduk tempatan untuk makan dan bermalam di rumah mereka, layanan mesra mereka sehingga kini masih kekal di ingatan,” katanya.

Begitupun kata Muhammad Amir lagi, bukan mudah untuk meneruskan misi berbasikal itu tanpa tekad dan sokongan yang tidak putus-putus daripada keluarga serta rakan-rakan.

Ini kerana, katanya, pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi termasuk ditahan untuk disoal siasat selama lima jam oleh agensi khas keselamatan di Taraz, Kazakhstan kerana mereka khuatir dia dan dua lagi rakannya anggota pengganas.


ISTANBUL, Turki antara destinasi yang disinggah Muhammad Amir.

“Selain itu, masalah kerosakan pada basikal, diganggu anjing liar, perubahan cuaca juga turut menjadi halangan dan ketika ini, negara di Asia Tengah sedang mengalami musim sejuk dan pada hari-hari tertentu, suhu jatuh sehingga ke -10 darjah Celsius pada waktu siang dan -15 darjah Celsius pada waktu malam.

“Sepanjang perjalanan, kami biasanya akan berkhemah atau menumpang di rumah penduduk tempatan dan jika terdapat rumah tumpangan yang sesuai, kami juga tidak melepaskan peluang untuk bermalam.

“Secara purata, dalam sehari secara purata saya dan rakan perlu berkayuh dalam 60 kilometer (km) namun kami pernah berbasikal sejauh 480km selama lima hari di Turkmenistan kerana kekangan visa,” katanya yang turut berkesempatan singgah di beberapa pejabat kedutaan Malaysia di sepanjang pengembaraan itu.

Menurut Muhammad Amir lagi, dia sentiasa mengemas kini laporan ramalan kaji cuaca untuk memastikan perjalanan lancar selain mengelakkan terperangkap dalam hujan atau salji tebal.


PEJABAT kedutaan Malaysia turut dikunjungi sepanjang laluan pengembaraannya.

Katanya, dia juga tidak ketinggalan menghubungi keluarga untuk memberikan perkembangan mengenai pengembaraannya jika tiba di sesuatu kawasan yang memiliki liputan internet yang baik.

“Keluarga terutama ibu bapa sentiasa mengikuti perkembangan pengembaraan yang di muat naik di media sosial, Alhamdulillah, setakat ini, mereka memahami dan tidak putus-putus mendoakan keselamatan kami semua.

“Harapan saya, kami dapat menjayakan misi berbasikal kembali ke Malaysia ini dengan selamat dan pada masa sama dapat membuka mata golongan muda supaya memberanikan diri untuk mengembara mencari pengalaman yang tiada di negara sendiri.

“Jika ada rezeki dan peluang, Insha-Allah, saya akan mengembara ke benua lain pula pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:01 AM