Muhaamad Hafis Nawawi dan Hamzah Osman dan Zuliaty Zulkifli


MENYEDIHKAN. Itu dapat digambarkan apabila hanya cebisan rambut dan tengkorak kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditemui di Jalan Gunung Raya di Langkawi, hari ini.

Mangsa, Nur Aisyah Aleya Abdullah, sebelum ini dilaporkan hilang ketika dijaga suami isteri, pertengahan bulan lalu, sebelum dia dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, mangsa ditemui selepas polis menahan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun di Ampang, Selangor, jam 4 petang semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki membawa polis ke lokasi sebelum menunjukkan tempat mayat kanak-kanak itu dibuang jam 11 pagi ini.

“Menerusi bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia mayat ditemui hanya tinggal cebisan rambut dan tengkorak.

“Cebisan rambut dan tengkorak ditemui dalam kawasan gaung yang curam iaitu kira-kira 30 meter dari jalan raya yang menghala ke puncak Gunung Raya,” katanya pada sidang media di tempat kejadian.

Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek akan direman esok pagi dan disiasat mengikut Seksen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kehilangan Nur Aisyah Aleya disedari ibunya, Rosmaliah Samo, 31, selepas pergi ke kediaman pasangan itu di kuarters Hospital Langkawi untuk mencari anaknya, minggu lalu.

Rosmaliah kemudian membuat laporan polis pada Ahad lalu selepas seorang daripada suspek memberitahu kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mayat Nur Aisyah dah ditemui

Dari Langkawi lari ke Ampang...

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 2:24 PM