STUART Ramalingam. -Foto NSTP
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: di Liga-M tidak bermakna mereka boleh lepas tangan begitu saja dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikrar untuk memburu pihak bertanggungjawab terhadap empat pasukan yang masih berhutang dengan pemain dan jurulatih masing-masing.

Pasukan yang dimaksudkan ialah Hanelang FC, Marcerra United, Kuantan United dan Terengganu City FC (TC FC) kerana masing-masing perlu bertanggungjawab membayar tunggakan gaji terhadap pemain dan jurulatih.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan bekas pemain serta barisan kejurulatihan pasukan
terbabit bagi mencari mekanisma paling baik bagi memastikan mereka membayar tunggakan berkenaan.

Malah, Stuart juga tidak menolak kemungkinan membantu pemain dan jurulatih terbabit untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan hak mereka terbela.

“Kami sedia maklum ada beberapa pasukan sudah tiada dalam saingan Liga-M, sekali gus menjadi tanda tanya sama ada hak pemain dan jurulatih yang mengalami tunggakan gaji boleh diselesaikan atau sebaliknya.

“Kami sudah berbincang bersama PFAM untuk mengambil tindakan bersesuaian dalam masa terdekat ini dan apa yang boleh diperkatakan, pengurusan pasukan terbabit tidak akan terlepas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Arena Metro melaporkan pembayaran tunggakan gaji berjumlah RM2,517,959.40 menerusi deposit setiap pasukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini hanyalah sebahagian kecil daripada RM13 juta jumlah tunggakan keseluruhan membabitkan lapan pasukan.

Malah, daripada lapan pasukan terbabit, hanya dua atau tiga pasukan saja berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan jurulatih, manakala selebihnya perlu bergantung kepada pengurusan masing-masing bagi melangsaikan baki berkenaan.

Baki tunggakan gaji itu perlu diselesaikan sendiri oleh Hanelang FC, Marcerra United, Kuantan United dan Terengganu City FC yang sudah ‘lesap’ daripada saingan Liga-M.

Stuart berkata, pasukan terbabit perlu bertanggungjawab dengan menyelesaikan tunggakan gaji seperti
yang tertakluk pada kontrak masing-masing.

“Perkara ini sering berlaku dan FAM memandang serius untuk membantu pemain dan jurulatih bagi menyelesaikan masalah berkenaan supaya tidak menjadi barah dalam bola sepak negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:00 AM