NADIYAH SHAHAB tidak mahu Nelydia dipersalahkan. FOTO Rosela Ismail.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

"NELYDIA tidak tahu apa-apa mengenai kejutan 'Bachelorette Party' itu. Dia tidak patut dipersalahkan," kata pelakon Nadiyah Shahab mengenai kek cawan berhiaskan ‘alat sulit’ yang disediakan dalam majlis itu semalam.

Nadiyah yang turut berada di majlis terbabit berkata, manisan itu disediakan pihak katering yang sekadar memenuhi tema acara.

"Makanan yang dihidangkan pada malam itu disediakan oleh pihak katering yang mengikut tema majlis iaitu 'Pyjamas Bachelorette Party Nelydia Senrose'.

"Ketika memuat naik gambar juadah makanan di Instagram, saya tidak fikir apa-apa dan tidak menganggap ia menjijikkan. Niat saya hanya mahu berkongsi gambar makanan yang ada pada majlis itu.

"Saya tidak faham kenapa orang perlu mengecam sedangkan ramai saja yang buat manisan sebegitu untuk suka-suka. Lagipun, bukan kami buat perkara tidak baik sepanjang majlis berlangsung,” katanya.


KEK cawan kontroversi yang mengundang kecaman warganet. FOTO Instagram Story

Menurut Nadiyah, dia terpanggil untuk menjelaskan perkara itu kerana tidak mahu orang ramai menganggap majlis terbabit parti liar.

"Niat kami baik iaitu mahu memberi kejutan kepada Nelydia yang bakal menamatkan zaman bujang. Kami mahu menghargainya kerana dia wanita yang penyayang.

"Tiada lelaki dalam majlis itu dan semuanya wanita yang terdiri daripada kenalan rapat dan adik-beradik Nelydia.

"Ia hanyalah pertemuan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Nelydia yang bakal menempuh alam rumah tangga tidak lama lagi.

"Malah, majoriti yang hadir memuat naik video dan gambar aktiviti yang berlangsung sepanjang acara itu. Kami habiskan masa menghiburkan Nelydia dengan persembahan dan menonton video istimewa yang dibuat khas untuknya,” kata Nadiyah.


KELUARGA dan kenalan rapat yang meraikan Nelydia. FOTO Instagram

Terdahulu, manisan berbentuk alat sulit yang dimuat naik di Instagram Story beberapa rakan artis yang hadir pada majlis Bachelorette Party Nelydia mengundang reaksi kurang senang warganet.

Rata-rata menyifatkan majlis kejutan yang dibuat itu tidak senonoh dan seakan berkiblatkan budaya barat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:57 PM