Mary Victoria Dass


PENGUSAHA kilang penguraian tayar haram di Kulai akan didakwa di mahkamah Johor Bahru di sini, esok kerana dipercayai menjadi dalang pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, tiga suspek yang juga pengusaha pelbagai kilang berkenaan sudah ditahan pada Ahad lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihaknya akan mendakwa pengusaha kilang selepas siasatan mendapati bukti iaitu ciri-ciri bahan kimia yang ditemui dalam bahan buangan di Sungai Kim Kim.

Katanya, keputusan analisa kimia terhadap empat sampel yang diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Sungai Kim Kim menunjukkan ia mengandungi bahan pelarut organik benzene, toulene dan xylene, ethybenzene dan D-Limonene.

“Berdasarkan laporan analisa kimia, D-Limonene itu adalah hasil kepada proses penguraian tayar.

“Kertas siasatan sudah siap pagi ini dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan mendapatkan kebenaran bagi pendakwaan.

“Kita tidak boleh mendedahkan namanya tetapi pihak berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sabit kesalahan, pengusaha berkenaan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000,” katanya.


Keadaan di Sungai Kim Kim yang dipenuhi dengan tompokan hitam dipercayai sisa bahan kimia. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Menara Aqabah di Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini, sebelum mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa bertindak bencana kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Yeo berkata, pihaknya berpendapat hukuman berkenaan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan pengusaha kilang itu.

Menurutnya, ia berikutan tindakannya mengancam nyawa ramai orang terutama pelajar sekolah hingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Kesan pencemaran berkenaan merebak akibat hujan hingga ramai yang terjejas dan banyak perkara masih menjadi tanda tanya.

“Saya hubungi Peguam Negara Tommy Thomas bagi mendapatkan pandangannya sama ada pengusaha berkenaan boleh didakwa atas kesalahan lebih berat kerana hukuman penjara lima tahun dan denda tidak setimpal.

“Namun pendakwaan akan diadakan esok mengikut hasil siasatan dan sekiranya agensi lain mengenal pasti kesalahan lain, mungkin dia boleh didakwa atas pelbagai kesalahan pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengenal pasti dalang lain yang bertanggungjawab dengan kejadian itu.

Sehingga semalam, sebanyak 13 sekolah di kawasan berhampiran Sungai Kim Kim terjejas akibat pembuangan sisa kimia Khamis lalu, dengan lebih 500 mangsa dicatatkan sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 4:40 PM