ANGGOTA bomba mengangkat mayat budak yang terjatuh ke dalam parit besar Kampung Ganang, Kepayan, Kota Kinabalu.-Foto NSTP
Norasikin Daineh


KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri hanya mampu meraung selepas melihat mayat anak bongsu mereka yang dikhuatiri lemas akhirnya ditemui di parit besar Kampung Ganang, Kepayan.

Mayat Muhammad Alwadi Abdullah, 3, ditemui penduduk Kampung Ganang jam 4 petang semalam iaitu dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di parit Kampung Peringatan, Petagas, kelmarin.

Penduduk, Yap Kip Lee berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui terapung bersama sampah di parit berkenaan.

“Ketika kejadian saya membaiki kereta di hadapan rumah dan tiba-tiba ternampak objek seperti patung bersama sampah kira-kira 30 meter.

“Saya mendekati objek itu sebelum mendapati ia adalah mayat kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan kembung sebelum melaporkannya kepada bomba,” katanya.

Katanya, dia ada terdengar kejadian kanak-kanak lemas, namun tidak menyangka mayat itu sampai ke kawasan parit berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki di parit kampung itu.

“Mayat ditemui penduduk kampung dan ibu bapa mengesahkan pakaian pada mayat yang ditemui itu adalah anak mereka.

“Mayat mangsa ditemui sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jamaludin berkata, berikutan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 8:00 AM