GAMBAR hiasan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


HARGA runcit petrol RON97 naik lapan sen seliter iaitu daripada RM2.46 seliter kepada RM2.54 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 seliter serta RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 16 hingga 22 Mac mengikut penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 hingga 22 Mac sepatutnya masing-masing RM2.24 seliter dan RM2.37 seliter.

“Bagaimanapun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh itu adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter,” katanya, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, ia berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:26 PM