ANGGOTA penguat kuasa Kedah melekatkan pita pelekat larangan menceroboh pada pintu pagar bangunan. Gambar kecil, pita pelekat turut dilekatkan pada pintu masuk.
Nor Farhani Che Ad


PREMIS Pusat Jagaan Anak-Anak Cahaya Amal Bistari di Taman Pekan Baru di sini, dikenakan tindakan sita, semalam selepas ia dikesan beroperasi secara haram.

Operasi yang dijalankan bermula jam 10 pagi hingga jam 12 tengah hari itu membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan polis.

Pengarah (Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan) JKM, Ahmad Rashid berkata, ketika tindakan sita atau ‘lak’ dilakukan, premis 14 pintu itu didapati dikosongkan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, tindakan lak dilaksanakan JKM mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

“Pengusaha pusat jagaan ini diberi tempoh 21 hari untuk mengemukakan dokumen yang membolehkan pusat ini didaftarkan mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 untuk perakuan pendaftaran.

“Sekiranya mereka gagal mengemukakan permohonan, maka lak ini akan berterusan hingga kita mendapat keputusan daripada mahkamah untuk menanggalkan lak ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan premis yang turut beroperasi sebagai pusat rawatan amal itu tidak dimasuki penghuni dan tindakan akan diambil sekiranya ada pihak yang ingkar.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, JKM turut akan memantau aktiviti kumpulan itu bagi memastikan kegiatan mengeksploitasi pelajar tidak berlaku lagi.

“Tindakan sama akan dilakukan sekiranya mereka didapati masih beroperasi sama ada di sini atau di tempat lain,” katanya.

Mengulas mengenai status 11 anak yatim yang menghuni pusat jagaan itu, pihaknya akan menempatkan mereka di rumah perlindungan JKM. Bagaimanapun, ketika operasi dijalankan mereka itu tidak berada di premis berkenaan.

“Kita akan memberi perlindungan kepada 11 anak yatim yang menghuni di sini manakala selebihnya kita minta mereka dipulangkan kepada ibu bapa masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana video yang berkemungkinan akan disebarkan melalui media sosial bagi meraih simpati masyarakat di atas situasi yang sedang berlaku.

Semalam dilaporkan kerajaan negeri mengarahkan sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup selepas ia beroperasi secara haram termasuk dipercayai mengeksploitasi pelajarnya untuk mengutip derma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan siasatan mendapati pusat pengajian itu tidak berdaftar mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

Selain itu, katanya, ia turut dipercayai beroperasi sebagai pusat rawatan amal serta menggunakan taktik licik menipu pihak berkuasa dan orang ramai untuk mengaut keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:01 AM