CALUM terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi luar termasuk Malaysia.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

KELUNAKAN suara jejaka dari Britain ini pantas memukau pencinta muzik di seluruh dunia.

Ketika ini, Calum Scott tidak perlu diperkenalkan lagi selepas lagu You Are The Reason berjaya meledakkan namanya.

Calum, 30, yang mencipta nama selepas menjadi finalis Britain’s Got Talent pada 2015 cukup bertuah apabila kehadirannya diterima luar biasa.

Dia berjaya membuktikan dirinya bukan bintang semusim walaupun lahir daripada program realiti pencarian bakat.

Kualiti muzikal yang ada padanya membuatkan dia layak dipuja selain sekadar memiliki wajah tampan. Selama empat tahun berkelana sebagai anak seni, Calum masih tidak percaya dia sudah berada pada tahap sekarang.

“Semuanya terasa masih sukar untuk dipercayai. Sejak datang uji bakat dalam program itu beberapa tahun lalu, tidak sangka hidup saya benar-benar berubah. Daripada hanya pekerja pejabat biasa kepada seorang yang mempunyai peminat di seluruh dunia.

“Mungkin ini tuah saya memandangkan selama ini selalu berangan-angan untuk melakukan perkara yang paling saya cintai iaitu muzik. Saya percaya motivasi itu yang menjadi nadi utama kepada pencapaian sekarang.

“Namun, saya sedar misi saya lebih daripada sekadar mengecap populariti sebagai penyanyi. Dari dulu lagi, saya sentiasa tahu suatu hari nanti perlu menggunakan apa yang ada untuk memberi inspirasi, menyampaikan mesej positif dan membantu orang lain,” katanya.

Disebabkan terlalu berpegang teguh kepada prinsipnya itu, Calum berkata, dia ditegur pihak syarikat rakaman bahawa muzik masih tetap perniagaan.

“Bagi saya, berkarya adalah segala-galanya bagi mencurahkan cerita yang terbaik dalam lagu. Cerita itu kena berjaya menyentuh perasaan pendengar dan buatkan mereka terasa ada kaitan dengan lagu itu.

“Bagaimanapun, syarikat rakaman menegur saya kerana dalam berkarya, saya kena beringat muzik juga perlu dijual. Lucu pula apabila mengingatinya semula kerana saya tidak sedar kepentingan perkara itu disebabkan ada prinsip sendiri,” katanya.

Setiap pemuzik pastinya berhadapan kesukaran untuk mencari hala tuju muzik paling tepat. Calum juga mengakui perkara itu apabila menulis lagu sendiri untuk albumnya terasa menakutkan.

“Apabila kena menulis lagu sendiri untuk album pertama dulu, ia menakutkan saya. Namun, apabila Capitol Records melamar saya, semuanya terasa luar biasa terutama dapat bernaung di syarikat rakaman sama dengan Katy Perry dan Sam Smith.

“Sewaktu menghasilkan album itu, saya banyak habiskan masa mencurahkan segala emosi. Saya turut menulis lebih 70 lagu yang cukup banyak untuk diperdengarkan.

“Bagaimanapun, saya sedar bukan semua lagu itu yang terbaik, tapi itulah cara saya berkarya dan untuk album kedua pun saya berharap mampu hasilkan lagu dalam jumlah sebegitu,” katanya.


BERKARYA adalah segala-galanya bagi mencurahkan cerita yang terbaik dalam lagu. - Calum

Calum yang pertama kali berkunjung ke Malaysia baru-baru ini turut tersentuh dengan sambutan peminatnya di sini.

“Apa yang saya suka dengan Malaysia adalah penduduknya. Walaupun jauh dari kampung halaman, layanan orang di sini membuatkan saya terasa seperti berada di rumah sendiri.

“Saya sangat terharu apabila melihat betapa peminat di sini menghargai muzik saya. Disebabkan itulah saya menangis sewaktu membuat persembahan depan mereka apabila mereka turut menyanyikan lagu saya.

“Saya rasa bersalah pula apabila membuatkan peminat di sini menunggu lama. Sudah pasti saya sangat teringin kembali dan tampil dengan konsert penuh pula selepas ini,” katanya.

Calum juga mengakui dia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi luar termasuk dari Malaysia.

Baginya, dia percaya kuasa muzik mampu menyatukan sesiapa juga tanpa melihat pencapaian penyanyi berkenaan.

“Sudah tentu saya sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan sesiapa juga. Saya tidak akan melihat berapa album mereka sudah hasilkan, jumlah pengikut atau populariti mereka.

Setiap penyanyi di seluruh dunia mampu mengejutkan pendengar dengan kemampuan mereka. Muzik adalah universal dan sebaik-baiknya digunakan untuk tujuan baik dengan siapa saja kita bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:00 AM