Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


“HANYA Tuhan saja yang tahu betapa sebaknya hati ketika saya membaca doa dan surah al-Baqarah itu pada majlis perhimpunan berkenaan.

“Namun, saya gagahi juga demi mendoakan mangsa yang terkorban dalam serangan di dua masjid itu. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” begitu kata Shahmi Aiman Saiful Adly, 21.

Penuntut tahun dua jurusan perakaunan di Universiti Canterbury, New Zealand itu adalah individu yang diberi penghormatan untuk mengalunkan doa dan bacaan al-Quran pada perhimpunan solidariti dihadiri kira-kira 10,000 penuntut universiti berkenaan sempena memperingati tragedi tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Kemerduan suara anak jati Pasir Mas, Kelantan itu ketika membaca doa dan surah terbabit nyata menarik perhatian ramai.

Justeru, tidak hairanlah jika video berdurasi satu minit 28 saat tular di media sosial hingga ada yang menganggap ia adalah majlis pengebumian.

Menurut Shahmi, majlis perhimpunan itu adalah anjuran Persatuan Pelajar Universiti Canterbury (UCSA) dan ia diadakan selama sejam bermula jam 12 tengah hari kelmarin.

Katanya, pihak universiti membatalkan semua kelas bagi membolehkan penuntut menghadiri perhimpunan itu sebagai tanda sokongan kepada penganut Islam di negara terbabit.

“Perhimpunan yang diadakan di padang universiti itu dihadiri ribuan penuntut dan Persatuan Muslim Universiti Canterbury (UCMUSA) meminta saya untuk membacakan doa.

“Selepas menghabiskan doa, tergerak di hati untuk meneruskan dengan bacaan surah al-Baqarah bermula dari ayat 154 hingga 157, yang sesuai dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Anak ketiga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adly Abu Bakar berkata, dia agak gementar sebelum naik pentas kerana melihat ribuan penuntut hadir pada majlis penghormatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia mula berasa tenang apabila memikirkan mahu melakukannya demi penghormatan kepada mangsa.

“Dalam fikiran saya ikhlas mahu semua yang menghadiri perhimpunan berkenaan menghayati setiap terjemahan ayat al-Quran berkenaan.

“Malah, apa yang paling meninggalkan kesan apabila ada penuntut tempatan mengalirkan air mata ketika mendengar alunan surah berkenaan.

“Mereka seolah-olah memahami dan menghormati maksud ayat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia sebak apabila berjumpa dengan rakyat tempatan yang begitu mengambil berat mengenai komuniti Islam selepas tragedi berkenaan.

“Setiap kali terserempak dengan mereka di jalanan, pasti ada yang bertanya sama ada keadaan kami ok atau tidak atau apa yang diperlukan.

“Nyata, ada hikmah di sebalik tragedi ini. Allah tarik sebahagian Muslim yang baik, namun Dia gantikan dengan lebih ramai orang yang baik,” katanya.

Sementara itu, Saiful Adly ketika dihubungi berkata, dia sekeluarga bangga dan terharu dengan apa yang dilakukan anaknya itu.

Katanya, keluarganya menerima banyak ucapan daripada rakan mengenai video tular berkenaan.

“Sebagai bapa saya sangat berbangga dengan apa dilakukannya dan kami sekeluarga doakan semua warga Malaysia di sana sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Terjemahan surah al-Baqarah ayat 154- 155

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 154-155)

Terjemahan surah al-Baqarah ayat 154-155

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 154-155).


PERHIMPUNAN solidariti Universiti Canterbury yang dihadiri kira-kira 10,000 penuntut universiti.
  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:01 AM